KN tidak kurangkan seinci pun hutan simpan kekal negeri – KM

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

BAYAN LEPAS – Syarikat-syarikat swasta dan badan-badan korporat disaran menjalin usahasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjayakan inisiatif mengindahkan landskap, terutama kawasan-kawasan riadah dan taman di negeri ini.

Saranan tersebut disuarakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng bersempena sambutan Hari Landskap Negara 2016 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Taman Jajar (Linear Park) Sungai Ara di sini baru-baru ini.

Guan Eng berkata, usahasama tersebut boleh dilaksanakan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara pihak-pihak berkaitan.

“Kerajaan Negeri telah melaksanakan tanggungjawab dengan menanam 271,000 pokok baru di seluruh Pulau Pinang sejak tahun 2008, malah lebih banyak taman-taman poket dan taman landskap diwujudkan sepanjang tempoh berkaitan.

“Konsep kita (Kerajaan Negeri) adalah sentiasa memastikan aspek pembangunan taman, penanaman pokok teduhan dan pengindahan bandaraya seiringan dengan pembangunan landskap yang terancang dan berkualiti.

“Inisiatif ini sekaligus dapat menyumbang ke arah pemulihan ekologi dan mewujudkan suasana persekitaran yang hijau dan harmoni.

“Justeru, besarlah harapan saya agar lebih banyak syarikat swasta dan badan-badan korporat tampil membantu menjayakan pendekatan ini,” katanya pada majlis sambutan bertemakan ‘Landskap Berfungsi Kehidupan Berkualiti’ berkenaan.

Hadir menyempurnakan majlis, Yang DiPertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail dan Ketua-ketua Jabatan MBPP dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) turut sama menyerikan majlis berkaitan.

Dalam pada itu, Guan Eng menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah menebang atau mengurangkan seinci persegi pun hutan simpan kekal di negeri ini sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2008.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak seperti negeri-negeri lain, kita tidak pernah menebang atau mengurangkan seinci pun hutan simpan kekal di sini, bilangannya masih tetap sama,” jelas beliau.

}