Belanjawan 2022: Kerajaan Negeri tumpu pemulihan sektor pelancongan

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberikan tumpuan terhadap pemulihan sektor pelancongan yang menjadi penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negeri sebelum penularan pandemik COVID-19 melalui peruntukan RM50 juta dalam Belanjawan 2022.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bahawa Kerajaan Negeri akan memberikan perhatian kepada aktiviti promosi pelancongan untuk menarik kehadiran pelancong tempatan dan luar negara bagi menjadikan Pulau Pinang destinasi pelancongan utama.

“Kerajaan Negeri akur bahawa sektor pelancongan adalah salah satu sektor yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri memberikan tumpuan terhadap pelan pemulihan pelancongan dalam Bajet 2022 untuk merancakkan semula industri pelancongan Pulau Pinang sekali gus memulihkan sektor ini seperti sedia kala,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 dekat sini sebentar tadi.

Beliau berkata, jumlah peruntukan yang disalurkan adalah merangkumi perbelanjaan bagi projek-projek pembangunan pelancongan, aktiviti promosi destinasi pelancongan, geran kepada anak syarikat negeri dan agensi yang berfungsi sebagai pemangkin pelancongan.

Tambah Kon Yeow, usaha-usaha turut giat dijalankan pada masa ini untuk mempercepatkan pemulihan sektor pelancongan Pulau Pinang termasuk membangunkan ekonomi tempatan dengan menggalakkan perbelanjaan dalam negeri.

“Usaha ini adalah untuk menjenamakan serta memperkenalkan semula ‘Experience Penang Year’ sebagai tema kempen pelancongan bagi tahun-tahun yang akan datang,

“Malah, Penang Global Tourism juga akan meneruskan usaha untuk merangsang, mengukuhkan serta menarik perhatian pelancong ke negeri ini bagi memulihkan semula industri pelancongan melalui pelbagai kempen taktikal, pengiklanan dan media,” jelasnya.

Bagi mencapai sasaran lebih ramai dan berkesan, Kon Yeow menyatakan bahawa usaha mempromosi Pulau Pinang secara atas talian sedang giat dijalankan melalui platform media sosial.

“Antara kempen yang telah dijalankan adalah seperti World Wonders of Penang, Penang Then & Now, Penang Through Art dan Penang Product Feature.

“Selain itu, bagi meningkatkan daya saing dan menjana perbelanjaan pemain industri tempatan dengan kerjasama pemain pelancongan terkemuka bagi mendorong pelancongan domestik.

“Kerajaan Negeri juga menjalankan usaha untuk mengekalkan penjenamaan Pulau Pinang di pasaran luar negara melalui penglibatan dalam pameran perdagangan luar negara serta webinar secara atas talian,” ulasnya lanjut.

Menurut Kon Yeow, bagi meggandakan impak ekonomi pelancongan pada tahun depan, Kerajaan Negeri merancang untuk meneruskan penganjuran acara-acara pelancongan yang sinonim dengan Pulau Pinang yang terpaksa ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.

“Pada masa sama, kita juga akan mempromosikan garis panduan serta langkah-langkah yang telah diambil dalam mewujudkan kawasan selamat daripada pandemik COVID-19 sebagaimana digariskan dalam Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang 2021-2030,” ulasnya.

Tidak terhenti di situ, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut menyediakan geran mengurus bernilai RM11 juta kepada Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) untuk meningkatkan kembali kehadiran pelancong di pusat peranginan ikonik itu.

“PBBPP telah mencatatkan jumlah kedatangan pengunjung seramai 780,106 pada tahun 2020 berbanding lebih 1.86 juta pada tahun sebelumnya (2019) iaitu penurunan sebanyak 58.2 peratus dan terus merosot kepada hanya 104,519 orang pada suku tahun kedua 2021.

“Justeru, adalah diharapkan agar peruntukan disalurkan ini dapat membantu PBBPP pada tahun depan sementara menunggu sektor pelancongan kembali pulih,” katanya.

Belanjawan Pulau Pinang 2022 memperuntukkan perbelanjaan RM935.22 juta bagi perbelanjaan mengurus iaitu meningkat sebanyak RM25.4 juta berbanding 2021, manakala RM25.4 juta lagi bagi projek pembangunan.

Bertemakan ‘Mempercepat Pencapapaian Penag2030’, bajet kali ini menyaksikan defisit sebanyak RM449.80 juta berbanding anggaran hasil RM485.42 juta.

Kon Yeow menyatakan bahawa anggaran defisit akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki sebanyak RM887.78 juta pada akhir tahun 2020.

“Kerajaan Negeri tidak menafikan bahawa amaun defisit ini adalah tinggi, namun kita optimis bahawa kutipan hasil negeri akan dapat ditingkatkan semula melalui langkah-langkah pemulihan ekonomi yang sedang dijalankan.

“Kita juga telah bersiap sedia dengan pelbagai strategi bagi meningkatkan hasil negeri seiring dengan pemulihan ekonomi selain berusaha mengurangkan tunggakan hasil melalui langkah-langkah yang diatur oleh jabatan-jabatan negeri,” tegasnya yang merupakan Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikkasi.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa sebagai menghargai penat lelah penjawat awam semasa mendepani pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan bantuan khas kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 membabitkan peruntukan RM5.59 juta.

“Diharapkan bayaran bantuan khas ini akan meningkatkan semangat penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan lebih cemerlang pada tahun-tahun akan datang.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan Negeri juga meluluskan pembayaran RM300 kepada penyelia guru KAFA, guru sekolah rendah agama rakyat, guru sekolah menengah agama rakyat serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina.

“Bantuan khas kewangan RM200 seorang turut diberikan kepada guru tahfiz, guru pondok dan guru TADIS Negeri Pulau Pinang.

“Keseluruhan peruntukan ini adalah melibatkan perbelanjaan berjumlah RM940,600 yang akan dibayar pada Disember 2021,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Belanjawan 2022 Pulau Pinang antara lain merangkumi:

  1. Pembangunan syiar Islam – RM71.13 juta
  2. – Menjayakan program Gagasan Khaira Ummah 2030 – RM350,000
  3. – Jabatan Kerja Raya – RM41.21 juta
  4. – Perkhidmatan bas percuma dan perkhidmatan feri Pulau Pinang – RM10 juta
  5. – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) – RM34.72 juta
  6. – Skim Pinjaman Harapan (SPH) – RM1 juta
  7. – Meneruskan program i-Sejahtera – RM50 juta
  8. – Penang Harmony Corporation (HARMONICO) – RM1.1 juta
  9. – Mengiktiraf peranan Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung – RM9 juta
  10. – Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) – RM6.8 juta
  11. – Geran mengurus kepada Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang – RM12 juta
  12. – Pemeliharaan dan perlindungan hutan – RM2.2 juta
  13. – Taman Botani Pulau Pinang – RM1.22 juta
  14. – Bantuan Am di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat – RM8.2 juta
  15. ‘- Best! Anak Penang – Skim Insentif Kecemerlangan Bakat Muda Pulau Pinang – RM500,000
  16. – Projek pembinaan Nibong Tebal Arena – RM7 juta
  17. – Pembangunan sukan dan kawasan lapang – RM13.471 juta
  18. – Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang = RM6.25 juta
  19. – Jabatan Perkhidmatan Veterinar – RM3.494 juta
  20. – Projek Gurney Drive – RM60 juta
  21. – Geran tahunan kepada Penang STEM 4.0 – RM630,000
  22. – Geran tahunan Penang Tech Dome – RM850,000
  23. – Geran tahunan Penang Science Cluster – RM680,000

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : DARWINA MOHD. DAUD