Penjawat awam terima bonus setengah bulan gaji, minimum RM1,200

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan pemberian Bantuan Kewangan Khas (BKK) akhir tahun kepada 3,920 penjawat awam negeri ini sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,200.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peruntukan berjumlah RM6.13 juta disediakan bagi bantuan tersebut.

“Kerajaan Negeri amat bertuah kerana memiliki barisan penjawat awam yang berdedikasi, berintegriti dan komited untuk memastikan dasar-dasar Kerajaan Negeri dilaksanakan dengan jayanya.

“Komitmen jitu yang diberikan telah membantu negeri Pulau Pinang untuk mengekalkan prestasi perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

“Semua bayaran BKK dan pemberian ini akan dibuat pada bulan Disember 2022,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Negeri Pulau Pinang dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri juga bersetuju menyalurkan RM300 seorang kepada Penyelia dan Guru KAFA, Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat dan Guru serta Staf Sekolah Persendirian Cina.

“Selain itu, pemberian sebanyak RM200 seorang juga akan dibayar kepada Guru Tahfiz, Guru Pondok dan Guru TADIS negeri Pulau Pinang yang akan melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah RM900,000,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI