Bakal jemaah haji dirai KN

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BATU MAUNG – Setiap tahun, bakal jemaah-jemaah haji diraikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) sebelum kumpulan tersebut masing-masing berlepas bagi menunaikan rukun Islam kelima di tanah suci Mekah.

Tidak terkecuali adalah pada tahun ini membabitkan jumlah keseluruhan 931 bakal jemaah haji yang akan berlepas menggunakan lima penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) terus ke Jeddah. Penerbangan tersebut turut membawa bakal jemaah haji dari negeri Kedah dan Perlis. Kumpulan pertama telah berlepas pada 22 September lalu.

Tuah bagi 67 jemaah bakal jemaah haji dari Batu Maung dan Teluk Kumbar di sini apabila kumpulan tersebut diraikan dalam majlis khas oleh Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kasim di Masjid Jamek Permatang Damar Laut di sini baru-baru ini.

Acara penyampaian tersebut dimulakan dengan majlis bacaan Yasin dan tahlil di samping doa selamat bagi mengiringi kumpulan berkenaan. Malah, mereka (bakal jemaah haji) turut menerima senaskah Al-Quran, sejadah, sejumlah wang tunai berserta keperluan
lain hasil sumbangan Abdul Malik.

Bagi seorang posmen, Abd. Halim Ahmad, 50, beliau menyatakan bahawa pemberian Kerajaan Negeri wajar dijadikan dorongan dan inisiatif kepada bakal-bakal jemaah haji dalam melaksanakan tuntutan berkenaan.

“Saya mendaftar sejak berusia 20-an dan berasa amat bertuah kerana diberi peluang menunaikan rukun Islam kelima pada usia yang agak muda,’’ katanya ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Bagi pesara kerani, Mooti Yakup, 74, menganggap pemberian Kerajaan Negeri sebagai suatu keberkatan.

“Alhamdulillah, makcik bersyukur kerana diberi peluang kali kedua menunaikan haji sejak tahun 1981.

“Sebelum ini, tidak ada pun sumbangansebegini, sekarang Kerajaan Negeri lebih perihatin,’’ jelas beliau.

Dalam pada itu, Abdul Malik turut mengucapkan tahniah kepada semua bakal jemaah haji yang terpilih dan beliau turut berkongsi pengalamanya sebelum ini.

“Di sana, pelbagai pengalaman yang saya dapat lihat, yang baik mahupun yang buruk.

“Saya ingin berpesan kepada baka-lbakal haji sekalian, kalau boleh sucikan diri sebelum berangkat ke sana. Mintalah ampun maaf atau sucikan hati sebelum berangkat,’’ ujar Abdul Malik.

jemaahhaji2

ABD. Halim Ahmad (kiri) menerima sumbangan daripada Abdul Malik Abul Kassim pada majlis penyampaian khas bagi bakal jemaah haji Batu Maung dan Teluk Kumbar di sini baru-baru ini.