Bantuan 24 jam mangsa kebakaran Taman Cantik

BAGAN JERMAL – Penyaluran bantuan bencana dalam tempoh 24 jam yang menjadi salah satu dasar Kerajaan berjiwa rakyat sedikit sebanyak telah meringankan beban ditanggung mangsa-mangsa kebakaran di Taman Cantik, Butterworth di sini pada 15 Mei lalu.

Salah seorang mangsa, Haniapah Abi berkata, kejadian kebakaran yang berlaku dalam sekelip mata itu telah memusnahkan segala persiapan termasuk wang tunai dan kelengkapan perkahwinan dua anaknya pada 12 Jun ini.

Saya sekeluarga seolah hilang arah tujuan. Mujurlah, sejurus selepas kejadian, pihak Kerajaan Negeri sanggup tampil untuk memberi bantuan. Ini termasuk lawatan para pegawai dari Pusat Khidmat Parlimen Bagan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Jermal.

Bersempena dengan lawatan tersebut, saya turut menerima bantuan kewangan dan barangan keperluan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tabung Tuan yang Terutama yang disampaikan oleh pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (SPU), badan korporat dan juga individu-individu tertentu,’’ katanya kepada SUARA CAT di sini baru-baru ini.

Tambahnya, pada aspek penginapan, beliau dan juga sebahagian daripada mangsa-mangsa lain telah ditempatkan di sebuah rumah yang disewa khas oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng. Sebahagian mangsa-mangsa lain pula menetap di kediaman saudara-mara masing-masing,’’ jelas Haniapah.

Sementara itu, nasib yang menimpa Haniapah dan mangsa-mangsa lain turut memperoleh perhatian daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng apabila beliau sendiri turun padang untuk meninjau keadaan dan menyampaikan sumbangan khas.

Turut menemani beliau ialah Pengerussi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abdul Kassim ; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom), Pengangkutan (Udara, Laut dan Keretapi), Lim Hock Seng dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihaatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Adalah diharapkan dengan bantuan tersebut dapat meringankan masalah yang dihadapi tiga keluarga terbabit,’’ kata beliau.