Gerakan koperasi jana ekonomi negara

GEORGE TOWN Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman menyeru semua pihak tidak melepaskan peluang untuk menyertai pertubuhan koperasi demi manfaat masa depan sendiri dan juga negara.

Di dalam ucapannya, Mansor menyatakan bahawa gerakan koperasi memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi negara luar seperti Jepun, Korea, Perancis, Jerman dan sebagainya. Malah, terdapat juga negara yang mana koperasi mengawal harga barangan di dalam negara-negara bekenaan.

Justeru, saya menyeru supaya semua pihak dapat berganding bahu bagi memastikan gerakan koperasi di negeri Pulau Pinang terus relevan dan mendapat sambutan daripada rakyat. Pada masa sama, saya turut berharap hasil penganjuran karnival ini juga bakal menjadi perintis kepada koperasi-koperasi di negeri Pulau Pinang untuk menjalinkan kerjasama dua hala antara rakan-rakan niaga yang mengambil bahagian,’’ katanya pada Karnival Koperasi Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya baru-baru ini.

Karvival yang berjaya menghimpunkan kira-kira 100 koperasi dari seluruh negeri Pulau Pinang tersebut telah dirasmikan oleh Tuan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato Seri (Dr.) Abdul Rahman Abbas.

Sementara itu, di majlis berlainan, setelah bertahun lamanya, masalah air kotor membabitkan 13 buah kediaman di Kampung Tok Elong, Penanti akhirnya sampai ke penghujung.

Mansor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti mengucapkan sekalung penghargaan kepada pihak Perbadanan Bekalan Air (PBA) yang bertindak pantas dalam menyelesaikan masalah berkenaan.

Seorang penduduk kampung yang tidak ingin dikenali berkata, walaupun baru lima bulan Mansor dilantik sebagai ADUN Penanti, keprihatinan beliau berjaya menyelesaikan masalah asas penduduk di dalam tempoh masa singkat.