KM – bukan lawan semua penjawat awam, cuma lawan ‘little napolean’

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menegaskan bahawa Kerajaan Negeri bukannya melawan semua penjawat awam di negeri ini, sebaliknya, hanya satu dua orang ’Little Napolean’ yang tidak menjalankan tugas dengan akauntabel dan membazirkan wang rakyat.

Kata beliau sambil mengaitkan dengan tindakan serta sikap Pegawai Pembangunan Negeri (SDO), Nik Ali Mat Yunus berhubung tiga isu baru-baru ini, sekiranya Kerajaan Negeri boleh memberi pujian, hadiah, penghargaan dan pingat kepada penjawat awam yang mempunyai prestasi baik, mengapakah mereka tidak boleh ditegur atas sikap budaya dan etika kerja yang tidak sihat serta negatif?

Little Napolean bersikap membazirkan wang rakyat. Namun, bila sudah buat salah, tidak mahu jawab macam mereka ini lebih besar dari rakyat. Sedarkah bahawa rakyat yang membayar gaji mereka. Justeru, mana boleh berlagak sedemikian? Jangan sebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga,’’ katanya kepada SUARA CAT di sini baru-baru ini.

Guan Eng menjelaskan bahawa perkara tersebut bukannya berkait dengan isu kerusi sempena majlis Perasmian Projek Menaik Taraf Kereta Api Bukit Bendera November tahun lalu, sebaliknya, ia membabitkan tiga perkara utama yang berlaku pada tahun ini.

Saya telahpun menfailkan saman mahkamah terhadap Utusan Malaysia tentang fitnah ini.

Ini termasuk isu curi pasir di Balik Pulau atas tanah milik Kerajaan Persekutuan ; projek-projek Kerajaan persekutuan yang dijalankan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pembinaan pintu gerbang Taman Botani, Pulau Pinang.

Mengulas mengenai isu curi pasir, macam mana Kerajaan Negeri boleh dipersalahkan apabila tanah ini milikan Kerajaan Persekutuan dan berlaku sejak 2002. Kalau anak kita sendiri tak jaga betul-betul, adakah kita berhak salahkan orang luar tak jaga anak kita.

Berhubung pembinaan isu pintu gerbang yang condong, jumlah pembinaan adalah bernilai RM150,000 dan kos untuk merobohkannya pula adalah RM90,000. Siapa yang tanggung jumlah kos RM240,000 ini?,’’ ujar beliau.