Bantuan Biasiswa Kecil Negeri naik hingga RM840 setahun

Admin

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Bantuan Biasiswa Kecil Negeri (BBKN) untuk pelajar-pelajar sekolah menengah miskin dinaikkan antara 17 peratus hingga 25 peratus atau RM120 setahun bermula tahun depan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kenaikkan itu sekaligus menyebabkan perbelanjaan tahunan Kerajaan Negeri bertambah RM2 juta untuk tahun 2013.

“Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang sebagai kerajaan berjiwa rakyat telah membuat keputusan untuk menaikkan BBKN kepada pelajar-pelajar miskin di sekolah menengah sebanyak RM 120 setahun daripada RM 480 kepada RM 600 untuk Tingkatan 1 hingga 3 dan daripada RM 720 kepada RM 840 untuk Tingkatan 4 dan 5 untuk 2013.

“Kenaikan ini adalah bagi  menampung keperluan pembelajaran pelajar miskin untuk membeli buku-buku kerja dan rujukan serta keperluan harian yang kian meningkat kosnya dari tahun ke tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, inisiatif itu dapat mengekalkan kuasa membeli keperluan belajar dalam kalangan pelajar miskin di negeri berkenaan, malah, inisiatif tersebut merupakan paling tinggi di antara semua negeri di Malaysia.

“Kerajaan Negeri PR hanya berkemampuan menaikkan bayaran kerana mendapat lebihan Bajet Negeri setiap tahun sejak 2008.

“Kejayaan Bajet surplus ini dicapai sungguhpun perbelanjaan telahpun bertambah di bawah PR sebanyak 55 peratus berbanding dengan kerajaan lama. Ini sekaligus menyangkal tuduhan liar pihak tertentu bahawa Bajet surplus dicapai hanya kerana Kerajaan Negeri kurangkan perbelanjaan,’’ tegas beliau.

Guan Eng menjelaskan, surplus naik sebanyak 312 peratus pada tahun 2011 kepada RM138 juta berbanding dengan 2010 adalah kerana urustadbir Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) yang memberikan penekanan kepada tender terbuka kompetitif, pengisytiharan aset pemimpin Kerajaan Negeri termasuk Ketua Menteri kepada orang awam, mendedahkan isi kandungan kontrak kerajaan dengan syarikat swasta dan memastikan kesederhanaan baik dalam perbelanjaan secara berjimat serta berhemah ataupun kehidupan tidak mewah tetapi sederhana pemimpin dan pegawai Kerajaan Negeri.

“Lagipun, surplus ini  dikongsi dengan rakyat menerusi pelbagai program bantuan emas seperti warga emas, anak emas, mahasiswa emas dan pelajar emas.

“Di samping itu, Kerajaan Negeri telahpun melaksanakan Agenda Ekonomi Saksama (AES), di mana Pulau Pinang bakal menjadi negeri pertama membasmi kemiskinan di Malaysia pada 2013 dengan mewujudkan mekanisme untuk menjamin setiap keluarga memperoleh sekurang -kurangnya RM770 sebulan.

“Mana-mana keluarga yang mempunyai pendapatan kurang RM770 sebulan akan ditambah nilai atau ‘top-up’ oleh Kerajaan Negeri pada setiap bulan hingga genap RM770,’’ ujarnya.

Tambah beliau, seramai 2,567 pelajar daripada 123 buah sekolah di Pulau Pinang akan mendapat faedah daripada kenaikan BBKN berkenaan.

“Pemilihan penerima adalah diproses melalui sistem komputer online oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berasaskan merit, kedudukan kewangan keluarga dan kegiatan ko-kurikulum. Pejabat Pelajaran Pulau  Pinang akan memperakukan senarai nama pelajar yang layak menerima bantuan ini kepada Kerajaan Negeri untuk kelulusan.

“Justeru, mana-mana keluarga di Pulau Pinang yang anak mereka tercicir daripada senarai ini boleh menghubungi Pejabat Daerah atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PR untuk dipertimbangkan,’’ jelas beliau.