Kefahaman konsep ibadah wakaf diperluas

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

BAYAN BARU – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) bakal menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan kefahaman kepada seluruh masyarakat Islam dalam negeri berhubung konsep ibadah wakaf.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman yang juga Pengerusi Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP ) menegaskan bahawa, pendekatan tersebut perlu diambil agar maklumat  diperoleh adalah tepat dan tidak sewenang – wenangnya diperkotak-katikkan.

“Pelan Induk Pembangunan Wakaf Pulau Pinang hendaklah diadakan bagi memastikan pembangunan wakaf sejajar dengan hasrat pembangunan negeri.

“Pelan ini juga wajar dijadikan asas kepada sebarang cadangan atau percanggahan pembangunan wakaf yang wujud bagi memastikan impak besar terhadap setiap dana dibelanjakan,” ucapnya ketika merasmikan Wacana Wakaf Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Bertemakan ‘ Wakaf Membangunkan Ummah’, wacana kali ini menjemput Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (Jcorp), Tan
Sri Muhammad Ali Hashim bersama tiga ahli panel iaitu Pengerusi Malaysian Business Council, Jeddah, Datuk Dr. Mohd. Ghazali Mohd. Noor; Felo Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhammed Abdul Khalid d a n Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan moderator, Pengerusi Majlis Perniagaan Bersama (JBC) Malaysia, Datuk Faudzi Naim Noh.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Timbalan
Mufti, Salahuddin Ghozali. Wacana Wakaf Pulau Pinang merupakan wacana julung kali diadakan dan merupakan siri perbincangan intelektual yang keempat dianjurkan oleh YIPP.

Tambah Mansor, umat Islam di Pulau Pinang memerlukan kefahaman yang menyeluruh tentang kepentingan dan pembangunan harta wakaf agar harta-harta tersebut akan dibangunkan dan seterusnya mampu menyumbang kepada pembangunan insaniah umat Islam di negeri ini.

Tambah beliau, terdapat beberapa isu dan cabaran dihadapi wakaf di Pulau Pinang yang memerlukan perhatian dan kefahaman umat Islam.

“Saiz tanah wakaf, penghuni tanah wakaf dan dana terbatas adalah sebahagian isu dan cabaran yang dihadapi dalam pengurusan harta wakaf.

“Masyarakat hari ini masih belum memahami konsep ibadah wakaf yang sangat dinamik dan kelebihan infaq yang sangat mulia kerana ianya amat digalakkan dalam Islam,” jelas beliau.

MUHAMMAD Ali Hashim.
MUHAMMAD Ali Hashim.