Bantuan perubatan percuma untuk rakyat

 

PANTAI JEREJAK – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin memaklumkan bahawa beliau telah merangka beberapa program bantuan perubatan percuma bagi warga emas dan penduduk sekitar kawasan DUN beliuau khususnya.

Terbaru, beliau mengadakan program bantuan perubatan percuma bagi penduduk sekitar Kampung Sungai Nibong Kecil, Kampung Sungai Nibong Tengah serta Lengkok Mahsuri dan mendapat sambutan lebih daripada 70 penduduk setempat yang memerlukan.

Menurut beliau, sebuah pasukan pegawai-pegawai perubatan dan jururawat turut serta dalam menyediakan bantuan perubatan percuma dan mendirikan klinik perubatan percuma sementara bagi membantu warga tua yang uzur ddan penduduk kurang berkemampuan yang memerlukan bantuan. Pemeriksaan percuma tekanan darah, paras gula dalam darah dan penyakit ringan lain serta ubat-ubatan percuma turut ditawarkan dalam program sehari bersama penduduk setempat.

Tze Tzin menambah bahawa beliau akan mengadakan program seumpama ini lebih kerap kerana beliau percaya bahawa program tersebut secara tidak langsung dapat memberi bantuan kepada mereka yang uzur dan memerlukan rawatan tetapi tidak berkemampuan.