Batu Kawan, bandar satelit ketiga – KM

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI


GEORGE TOWN – Paramount Corporation Berhad (PCB), sebuah syarikat pembangunan hartanah unggul di Lembah Klang dan
Kedah, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi pembelian tanah pegangan bebas seluas 30 ekar (12.14 hektar) di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan (SPS).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PCB, Datuk Teo Chiang Quan, MoU tersebut membolehkan pihaknya membangunkan bandar universiti pertama di daerah Batu Kawan yang sedang pesat membangun kini.

“Ia akan dibangunkan oleh anak syarikat  PCB iaitu Paramount Property, iaitu 10 ekar dibangunkan untuk tujuan pendidikan dengan membangunkan sebuah kolej universiti KDU Pulau Pinang dan selebihnya untuk pembangunan bersepadu.

“Di bawah terma MoU, PCB membeli  tanah pada harga RM65, 557,800 dengan 10 ekar (tujuan pendidikan) pada harga RM40.50 sekaki persegi dan 20 ekar (pembangunan bersepadu) lagi pada harga RM55.00 sekaki persegi,” jelasnya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU antara PCB dan PDC di sini baru-baru ini.

PDC diwakili Pengurus Besarnya, Datuk Rosli Jaafar dan Timbalan Pengurus Besar, Iskandar Basha Abdul Kadir. Manakala, PCB diwakili Chiang Quan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan KDU, Datin Teh Geok Lian.

Hadir menyaksikan pemeteraian tersebut  ialah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Turut serta, Exco Hal Ehwal Agama  Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai.

Tambah Chiang Quan, mengikut terma,  PCB juga dikehendaki menyiapkan pembangunan kawasan pendidikan dalam tempoh lima tahun dan pembangunan bersepadu dalam 10 tahun bermula pada tarikh MoU tersebut ditandatangani.

“PCB juga disyaratkan untuk mendapatkan kelulusan daripada semua jabatan atau agensi berkaitan dan menyiapkan pembangunan melalui pembiayaan sendiri.

“Ia selaras dengan dasar PDC untuk menggalakkan penjualan tanah bagi tujuan untuk menarik pembangunan ke Bandar Cassia di sini (Batu Kawan),” ujar beliau.

Dalam pada itu, Guan Eng menyifatkan pembelian tersebut adalah selaras dengan usaha Kerajaan Negeri dan PDC untuk menggalakkan projek-projek pendidikan dan keilmuan berkualiti di Pulau Pinang serta mampu melahirkan modal insan berkaliber.

“Dengan kewujudan bandar universiti ini, saya percaya Batu Kawan boleh menjadi bandar satelit ketiga selepas Bayan Lepas dan Seberang Jaya (di Seberang Perai Tengah),’’ jelas beliau.