Program amal Charis Hospice kumpul dana RM40k

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN– Kira-kira RM40,000 dana berjaya dikumpul 37 pasukan bermotor dan 85 buah pusat membeli – belah sempena  penganjuran program Pencarian Amal Charis Hospice Ke-6 di sini baru-baru ini.

Bertemakan ‘Pencarian Ikonik Pulau Pinang’, program amal tersebut memberi peluang kepada para peserta beriadah sambil beramal melalui dua acara utama iaitu Motor Hunt dan Shopping Mall Hunt.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, usaha murni dijalankan organisasi amal, Charis Hospice saban tahun wajar dipuji dan dijadikan contoh buat pertubuhan-pertubuhan lain.

“Usaha ini harus dipuji. Saya benar-benar percaya bahawa lebih banyak yang kita beri, lebih banyak yang akan kita terima pada masa hadapan.

“Charis Hospice telah memberikan begitu banyak bantuan untuk rakyat Pulau Pinang, terima kasih,” ujarnya pada Majlis Hi-Tea Charis Hospice
Hunt di sini baru-baru ini.

Charis Hospice yang memulakan operasi pada 1 November 2004 menyediakan sokongan perubatan secara percuma kepada pihak-pihak memerlukan.

Hasil sumbangan dana-dana melalui penganjuran program-program berkaitan akan disalurkan terus untuk kegunaan operasi seperti pinjaman peralatan perubatan, perunding pesakit luar, kaunseling, penjagaan rumah uzur dan lain-lain.

Bagi salah seorang peserta, Chiang Mei Teo, beliau menyatakan bahawa program pencarian amal amat menarik apabila para peserta dikehendaki mencari mercu-mercu tanda utama di Pulau Pinang.

“Saya tinggal di sini (Pulau Pinang) selama sepuluh tahun, tetapi, tidak pernah mengetahui bahawa wujudnya rumah asal P. Ramlee di sini,” ulasnya lanjut.