Batu Maung rangka pelan cegah banjir kilat – ADUN

Admin

Oleh: AINuL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, kawasannya memerlukan satu pelan pemajuan sistem perparitan yang lebih sempurna demi mencegah kemungkinan banjir kilat, terutama semasa musim tengkujuh (dijangka) pada bulan Ogos depan.

Abdul Malik yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengemukakan cadangan itu dalam satu pertemuan bersama-sama Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini.

“(Demi) memastikan sistem peparitan dan saliran yang sempurna, kita juga telah meminta Rapid Action Force DUN Batu Maung untuk turut memantau pokok-pokok yang perlu ditebang serta retention of flood waters (pembendungan banjir) sempurna,” ujarnya di sini.

Menurut Abdul Malik, kawasan kerap banjir kilat dikenal pasti di Batu Maung (5), Teluk Tempoyak (2), Permatang Damar Laut (2), Sungai Ara (1) dan 10 Kongsi (1).

Tidak cukup dengan itu, beliau berkata, penduduk wajar diberi pendedahan mengenai kaedah memulihara dan memelihara sistem perparitan di kawasan pemukiman masing-masing setelah fasa pelaksanaan pelan tindakan dikuatkuasakan.

Justeru, beliau berkata, pihaknya berharap pelan tindakan berwajib mampu mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung.