Bayar cukai pintu sebelum 28 Februari, sertai cabutan bertuah MPSP – YDP

SEBERANG JAYA – Promosi Bayaran Cukai Pintu 2019 yang dilaksanakan sejak 1 Disember tahun lepas akan berakhir pada 28 Februari 2019.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Ir. Rozali Mohamud memberitahu, mereka yang ingin menyertai acara cabutan bertuah bolehlah segera membuat pembayaran berwajib secara online di laman web Majlis atau laman web Kerajaan Negeri ataupun melalui ejen-ejen yang sah dilantik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“Pembayar cukai juga boleh membuat pembayaran di Kaunter Bayaran MPSP di Bandar Perda, Kaunter Cawangan MPSP di Kampung Jawa (dekat) Butterworth dan Jawi,” jelasnya ketika mempengerusikan Majlis Mesyuarat Penuh di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini pada 25 Februari 2019.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali memberitahu, mulai 1 Mac 2019 Caj Notis Borang E sebanyak RM10 akan dikenakan ke atas akaun pembayar cukai yang masih gagal menjelaskan cukai taksiran dalam tempoh yang ditetapkan.

“Sekiranya anda masih belum lagi membuat bayaran selepas 15 hari daripada tarikh Notis (Borang E) dikenakan, waran tahanan sebanyak RM50 akan dikeluarkan dan barang-barang yang ada dalam premis akan disita,” jelasnya sambil memberitahu 28 Februari 2019 merupakan hari terakhir pembayaran cukai taksiran bagi Penggal Pertama 2019.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS