Jabatan Audit Negara beri 5 Bintang kepada MPSP

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang diaudit oleh Jabatan Audit Negara (JAN) bagi tahun 2017 diiktiraf berada pada tahap Cemerlang iaitu 5 Bintang dengan mata pencapaian 90.10 peratus.

Yang di-Pertua Majlis, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu MPSP berjaya mengekalkan rekod cemerlang kerana setiap jabatan dalaman pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sejak 2016 lagi mengamalkan konsep Audit Diri Sendiri (Self Auditing) demi memastikan semua kriteria Pengurusan Kewangan (Indeks Akauntabiili) yang digariskan oleh JAN sentiasa dipenuhi.

“Menerusi konsep ini, pemindahan pengetahuan atau transfer of knowledge dalam kalangan kakitangan berkenaan dengan Pengurusan Kewangan (Indeks Akauntabaliti) berlaku kerana semua kriteria Pengurusan Kewangan yang terdiri daripada undang-undang dan peraturan berkaitan perlu dianalisis pematuhannya oleh kakitangan sebelum menjawab soalan yang disediakan di dalam Sistem Pemantauan Pengurusan Kewangan (SPPK) yang dikendalikan oleh Unit Audit Dalaman MPSP,” jelasnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini pada 25 Februari 2019.

Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod; barisan Ahli Majlis bagi MPSP dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad turut sertai sidang media itu.

Difahamkan, kali pertama MPSP diaudit pada tahun 2010 dengan pencapaian 88.79 peratus, berada pada tahap Baik iaitu 3 Bintang.

Kali kedua MPSP diaudit pada tahun 2013, mendapat 89.97 peratus berada pada tahap Baik dengan 4 Bintang.

Pengauditan MPSP terbaru iaitu pada tahun 2017 adalah kali yang ketiga, turut melibatkan lapan jabatan serta agensi negeri yang lain di Pulau Pinang.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH BOORAZIS