Tuai emas di SUKMA, Israr Hazim intai peluang sebagai jurulatih

Admin

SELEPAS berjaya menyumbang pingat emas menerusi sukan pelayaran bagi acara ILCA 7 dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 pada September lalu, atlet perahu layar negeri, ISRAR HAZIM ISMAIL, 20, kini mengintai peluang sebagai jurulatih bagi sukan berkenaan.

Bercakap kepada Buletin Mutiara baru-baru ini, Israr Hazim berkata bahawa beliau kini sedang mengikuti kursus kejurulatihan bagi sukan pelayaran memandangkan SUKMA ke-20 merupakan penyertaan terakhir buat dirinya.

Menurut beliau, skuad pelayaran negeri Pulau Pinang kini hanya mempunyai seorang jurulatih iaitu Hamdan Rozi yang bertanggungjawab melatih atlet-atlet perahu layar bagi semua kategori sukan berkenaan.

“Berbanding negeri-negeri lain seperti Terengganu dan Perak, setiap acara dalam sukan pelayaran mempunyai jurulatih yang berbeza, manakala Pulau Pinang hanya mempunyai seorang sahaja jurulatih bagi semua kategori buat masa ini.

“Justeru, selepas tamat SUKMA ke-20, saya terus mengambil kursus kejurulatihan bagi sukan ini kerana saya mahu membantu meningkatkan lagi pencapaian skuad pelayaran Pulau Pinang,” katanya yang sedang merancang untuk mengambil kursus dalam bidang Sains Sukan.

Pengalaman menyertai SUKMA

Israr Hazim berkata, SUKMA edisi ke-20 merupakan penyertaan kali keempat dan terakhirnya dalam temasya sukan dwitahunan itu yang mana akhirnya beliau berjaya menyumbang satu pingat emas buat skuad pelayaran negeri.

“Sebelum ini, saya pernah menyertai SUKMA 2016 di Sarawak, saya berjaya merangkul pingat perak manakala SUKMA 2018 di Perak pula saya mendapat pingat gangsa.

ISRAR Hazim Ismail (berdiri di atas podium, tengah) semasa menerima pingat emas pada temasya SUKMA ke-20.

“Memandangkan ini penyertaan kali terakhir, saya memang meletakkan sasaran pingat emas, jadi apabila sasaran itu berjaya dicapai sudah tentu saya sangat bersyukur dan gembira,” katanya yang merupakan anak kelahiran Teluk Kumbar.

Bercerita lanjut, Israr Hazim memberitahu bahawa pingat emas yang diperoleh hadir dalam suasana persaingan yang agak sengit terutamanya daripada peserta pelayaran dari negeri Terengganu.

“Sebenarnya, selepas tamat 10 perlumbaan, saya mendapat mata yang sama dengan pencabar terdekat dari Terengganu tetapi yang membezakan antara kami adalah saya memperoleh lebih mata pada perlumbaan pusingan kedua.

“Perbezaan mata dengan peserta di tempat ketiga iaitu pelayar dari Selangor juga sangat rapat iaitu dibezakan dengan hanya satu mata sahaja,” ujarnya tenang.

Mengulas lanjut, Israr Hazim menyatakan bahawa sebagaimana sukan-sukan lain, perahu layar juga mempunyai cabaran dan kesukaran yang tersendiri terutamanya dalam membaca gerakan arah angin.

“Selain memerlukan kekuatan fizikal, sukan perahu layar juga menuntut kebijaksanaan para peserta untuk merancang taktikal melalui kemahiran membaca tiupan arah angin serta arus air laut.

“Walaupun setiap peserta telah mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih tetapi apabila berada dalam pertandingan, peserta perlu peka terhadap perubahan arah angin dan keadaan air laut,” ulasnya yang mula melibatkan diri dalam sukan berkenaan sejak berusia 8 tahun.

Pencapaian paling manis

Israr Hazim menyatakan bahawa penglibatannya dalam sukan pelayaran bermula dengan minat pada usia kanak-kanak dan mengambil keputusan untuk terlibat secara serius ketika berumur 10 tahun.

“Mula-mula saya menjalani latihan di Teluk Kumbar di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semasa saya dalam darjah empat, jurulatih membawa saya untuk menjalani latihan bersama Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP),’’ ujarnya.

Tambah Israr Hazim, pengalaman menyertai Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) dan berjaya memenangi pingat emas merupakan kenangan paling manis buat dirinya sepanjang berkecimpung dalam sukan pelayaran.

“Selain itu, saya juga pernah memenangi pingat gangsa dalam kejohanan dunia sukan perahu layar yang berlangsung di Thailand beberapa tahun lepas,” jelasnya yang merupakan anak sulung daripada lima beradik.

Harapan

Ditanya mengenai harapan terhadap sukan perahulayar khususnya di negeri Pulau Pinang, Israr Hazim berharap agar sukan berkenaan mampu melahirkan lebih ramai pelapis muda pada masa akan datang.

“Saya juga berharap pelapis-pelapis yang ada menunjukkan prestasi lebih baik daripada atlet-atlet sebelum ini sekali gus membawa Pulau Pinang ke persada antarabangsa dalam sukan ini.

“Justeru, saya berhasrat untuk menjadi jurulatih dan melatih seramai mungkin bakat-bakat muda untuk diketengahkan sebagai atlet perahu layar professional pada masa depan,” katanya yang optimis bahawa Pulau Pinang mampu bangkit menjadi kuasa besar dalam sukan itu kelak.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING