Belanjawan 2020, fokus naik taraf infrastruktur sedia ada – Guan Eng

Admin

SUNGAI PUYU – Kerajaan Persekutuan akan memberikan fokus terhadap kerja-kerja menaik taraf infrastruktur sedia ada dalam Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan pada Oktober ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, terdapat banyak projek yang dilaksanakan kerajaan terdahulu dibiarkan tanpa penyelenggaraan menyebabkan timbul pelbagai masalah kini.

Lim Guan Eng menyerahkan Jalur Gemilang kepada salah seorang penduduk.

“Apabila kita jelajah di seluruh negara kita dapati bahawa kerajaan terdahulu lebih suka melaksanakan projek baru dan melupakan projek-projek lama.

“Inilah cabaran yang sedang kita (Kerajaan Persekutuan) hadapi kerana kos menaik taraf adalah jauh lebih tinggi berbanding membina atau membeli kelengkapan baharu.

“Kita mahu pastikan infrastruktur sedia ada berfungsi dengan sebaiknya sebelum memberi fokus kepada yang baharu dan inilah cabaran besar yang akan menjadi tumpuan dalam belanjawan akan datang,” katanya ketika ditemui pada program edaran Jalur Gemilang kepada penduduk sekitar Kampung Benggali, di sini, semalam.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu merangkap Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan ramai lagi.

Difahamkan, program edaran Jalur Gemilang tersebut dianjurkan oleh Komuniti Harapan Bagan.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF