Belanjawan 2021 Pulau Pinang fokus memperkasa peranan dan bakat modal insan

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini membentangkan Belanjawan 2021 yang memberi penekanan kepada usaha memperkasa peranan dan bakat modal insan melalui peruntukan berjumlah kira-kira RM99.64 juta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa daripada jumlah itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM9 juta bagi tujuan bayaran elaun ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini.

“Peruntukan ini meningkat sebanyak RM4.9 juta berbanding RM4.1 juta pada tahun lepas.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri terus menghargai dan mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh ahli-ahli MPKK di peringkat akar umbi negeri ini,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 dekat sini sebentar tadi.

Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan meneruskan pelaksanaan program Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) pada tahun 2021 melalui peruntukan berjumlah RM1.35 juta bagi meningkatkan kemahiran kepimpinan golongan wanita di Pulau Pinang.

“Serentak itu, Kerajaan Negeri juga meneruskan pelaksanaan Program Mamogram Percuma untuk golongan wanita Pulau Pinang (Mammo-Penang) menerusi kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPKKN) pada 2021 dengan kos RM886,000.

“Malah, sebanyak RM1 juta turut diperuntukan kepada Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) untuk membangunkan lebih ramai bakat dalam kalangan belia khususnya bidang digital yang berupaya memacu Pulau Pinang sebagai hab inovasi digital,” jelasnya.

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri komited memperkasakan pelaksanaan agenda pembagunan wanita, keluarga dan keterangkuman gender dengan memperuntukkan kos sebanyak RM1.5 juta kepada Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

“Bagi memastikan program keterangkuman gender dapat diakses oleh semua, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM200,000 bagi pelaksanaan program-program berkaitan pada tahun 2021.

“Malah, sebanyak RM300,000 juga diperuntukan bagi membantu menyelesaikan isu-isu berkaitan hal ehwal agama selain Islam pada tahun depan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Kon Yeow dalam pada itu, menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited terhadap usaha memartabatkan agama Islam di Pulau Pinang dengan meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM64.16 juta pada tahun 2021 bagi tujuan pembangunan, baik pulih, penyelenggaraan serta kelengkapan institusi keagamaan di Pulau Pinang.

“Bagi tahun 2021 juga, beberapa masjid akan dibina baharu atau dinaik taraf, antaranya adalah Masjid Habib Almas dekat Tanjong Tokong, Masjid Sungai Nibong Besar, Masjid Permatang Bogak Kepala Batas, Masjid Bandar Tasek Mutiara Simpang Ampat serta Masjid Taman Pelangi, Juru.

“Peruntukan ini juga termasuk pembangunan prasarana pendidikan agama Islam di negeri ini di samping meneruskan bantuan kepada Sekolah-sekolah Agama Rakyat (SAR),” ujarnya.

Dalam usaha menyediakan pelajar yang mampu berdaya saing di peringkat global, Kon Yeow menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM3.24 juta bagi program Makmal Pencipta (MakersLab).

“Pelaksanaan program MakersLab di sekolah-sekolah di negeri ini adalah bertujuan memupuk minat pelajar dalam bidang sains dan memperomosikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Bagi memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan melalui pendidikan, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM14 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Mubaligh, Sekolah Cina, Sekolah Persendirian dan Sekolah Tamil.

“Selain itu, bayaran bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu RM1,000 untuk pelajar mendapat tawaran ke IPT di Semenanjung Malaysia dan RM1,200 (Sabah dan Sarawak) serta RM300 untuk politeknik diteruskan melalui peruntukan RM4 juta,” ulasnya.

Seramai 4,009 penjawat awam di Pulau Pinang juga akan menerima bonus setengah bulan gaji atau minimum RM1,000. Bantuan khas kewangan itu akan dibayar pada bulan Disember tahun ini (2020).

Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM898,900 untuk penyelia dan guru KAFA, guru sekolah agama, kakitangan dan guru sekolah persendirian Cina, guru tahfiz, guru pondok dan guru TADIS. Bantuan itu akan dibayar pada bulan Disember tahun ini (2020).

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan membelanjakan sebanyak RM909.82 juta untuk perbelanjaan mengurus manakala RM294,106,207 bagi projek pembangunan pada tahun 2021.

Tambah beliau, dengan perbelanjaan itu, anggaran hasil yang akan diperoleh adalah berjumlah RM506.02 juta dengan defisit sebanyak RM403.30 juta.

“Defisit ini adalah lebih tinggi berbanding dengan unjuran defisit tahun 2020 berjumlah RM273.5 juta.

“Unjuran defisit RM403.80 juta ini akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki sebanyak RM1.07 bilion pada akhir tahun 2018,” katanya.

Difahamkan, Belanjawan 2021 Pulau Pinang adalah bertemakan ‘Transformasi Pemulihan dan Ketahanan Ekonomi ke Arah Dimensi Baharu Terbilang’.

Ia merangkumi empat strategi iaitu Menggalakkan Pelaburan dan Meningkatkan Produktiviti Pemacu Pertumbuhan Ekonomi; Membangunkan Infrastruktur dan Komunikasi Digital ke Arah Ketahanan Mampan; Memperkukuh dan Mensejahtera Kualiti Hidup Rakyat serta Memperkasa Peranan dan Bakat Modal Insan.

Belanjawan 2021 Pulau Pinang antara lain merangkumi :
i. Pembangunan sukan dan kawasan lapang = RM15.45 juta
ii. Meneruskan program iSejahtera = RM50 juta
iii. Projek Rancangan Tebatan Banjir Berimpak Tinggi = RM96.13 juta
iv. Projek pembinaan dan menaik taraf jalan raya serta jambatan = RM31.98 juta
v. Bas percuma CAT = RM15 juta
vi. Penyelenggaraan, pembaikan dan naik taraf perumahan awam kos rendah = RM12 juta
vii. Memastikan kelestarian bekalan air = RM10.5 juta
viii. Meneruskan kelestarian pertanian = RM5.65 juta
ix. Memacu pertumbuhan industri penternakan = RM3.52 juta
x. George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) = RM2 juta
xi. Pembangunan Bukit Bendera = RM14.11 juta
xii. Projek Parit Monsun dari Sungai Puyu ke Jalan Siram = RM5 juta
xiii. Projek Menaik Taraf Kompleks Penjaja Mak Mandin = RM1.4 juta
xiv. Pembangunan Robina Eco Park Fasa 2 = RM2 juta
xv. Digital Coach Scheme dan Digital Promoter Scheme = RM1.19 juta
xvi. Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus (TPM80) = RM6.8 juta
xvii. Program Mutiara Foodbank = RM300,000
xviii. Mengupaya keberhasilan pertanian = RM250,000

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & DARWINA MOHD. DAUD