Belenggu patriarki tidak patahkan semangat, Shameera Nasreen terus perkasa kepimpinan belia

img 7297 SHAMEERA Nasreen Ahamed Noordeen

PRASANGKA masyarakat dan belenggu budaya patriarki dalam sesetengah komuniti tradisional langsung tidak menyurutkan semangat SHAMEERA NASREEN AHAMED NOORDEEN, 27, untuk terus mengorak langkah sebagai ikon kepimpinan belia pada peringkat tempatan, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Kekentalan jiwa dan kelantangan suara anak muda kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini membolehkannya dinobatkan sebagai Johan Kategori Individu Wanita sempena Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2026 yang berlangsung di Putrajaya pada 14 September lalu.

d7ec40d1 0149 46ab ad66 6cdfe0ebef77
GAMBAR kenang-kenangan Shameera Nasreen Ahamed Noordeen semasa dinobatkan sebagai Johan Kategori Individu Wanita sempena Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2026 yang berlangsung di Putrajaya pada 14 September lalu.

Mewakili Majlis Belia India Malaysia (MIYC), Shameera Nasreen menyifatkan pengiktirafan tertinggi negara itu sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu digalas demi memperkasa masyarakat, khususnya golongan wanita muda.

Beliau yang juga Johan APBN Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 bagi kategori sama mengakui kejayaan pada peringkat kebangsaan itu agak mengejutkan memandangkan saingan yang dihadapi melibatkan tokoh belia dari seluruh negara.

“Pada mulanya, saya tidak menjangka akan dinobatkan sebagai johan kerana saya bersaing dengan 13 johan negeri yang lain dari seluruh negara.

“Semua calon bukan calang-calang orang dan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

“Ketika itu, saya yakin sekadar berada dalam kelompok tiga terbaik.

“Namun, apabila diumumkan sebagai johan, saya amat bersyukur dan merasakan bahawa ini bukan sekadar piala, tetapi satu tanggungjawab,” katanya dalam sesi temu ramah bersama wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI di Komtar, hari ini.

whatsapp image 2026 09 17 at 2.52.05 pm (2)


Pembentangan dan pencapaian antarabangsa

Mengulas mengenai penilaian APBN, anak muda yang menguasai empat bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Tamil dan bahasa Mandarin itu menjelaskan bahawa proses penilaian pada peringkat kebangsaan amat ketat dan menyeluruh.

Jepasnya, selain meneliti rekod penglibatan pada peringkat akar umbi dan negeri, panel penilai yang terdiri daripada pelbagai latar belakang turut menilai calon menerusi sesi pembentangan.

Dalam sesi tersebut, Shameera Nasreen mengetengahkan kejayaan penganjuran Konvensyen Belia Wanita India Malaysia 2025 yang berjaya menghimpunkan lebih 600 peserta daripada pelbagai latar agama.

“Program itu bukan sahaja meningkatkan kesedaran awam mengenai penglibatan wanita dalam perkhidmatan awam dengan menampilkan tokoh seperti Tan Sri Datuk Nallini Pathmanathan, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan Datuk Dr. Waitchalla R.R.V Suppiah, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), malah turut disertai Menteri Belia dan Sukan ketika itu, YB Hannah Yeoh.

“Selari dengan konvensyen itu, saya turut mengendalikan Karnival Rakan Muda yang merangkumi pelbagai aspek seperti pendedahan kepada usahawan muda menerusi Rakan Niaga, kelas pemakaian sari menerusi Rakan Mahir, serta penganjuran perhimpunan wanita dalam sukan permotoran di bawah Rakan Litar,” katanya.

Shameera Nasreen turut pernah mewakili negara ke Forum Ekonomi dan Sosial (ECOSOC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada April lalu.

whatsapp image 2026 09 17 at 2.42.00 pm (1) whatsapp image 2026 09 17 at 2.41.28 pm whatsapp image 2026 09 17 at 2.52.04 pm (1)

Tepis stereotaip dan belenggu patriarki

Mengulas cabaran terbesar sepanjang bergiat dalam dunia kepimpinan belia, pemimpin belia India Muslim itu tidak berselindung bahawa rintangan paling sukar bukanlah penyelarasan program, sebaliknya prasangka budaya dan pandangan stereotaip dalam komuniti sendiri.

“Untuk wanita India Muslim keluar dan berada dalam arus perdana, ia merupakan satu cabaran yang amat besar.

“Kebanyakan masyarakat masih berpegang kepada budaya tradisional dan patriarki, mereka beranggapan wanita boleh bekerja, tetapi tidak perlu menonjol atau berlebih-lebihan.

“Malah, selepas saya diumumkan sebagai Johan Kebangsaan dan Tokoh Belia Wanita Negara sekalipun, soalan pertama yang diajukan oleh sesetengah ahli keluarga masih berkisar tentang ‘bila nak kahwin’ atau ‘bagaimana nak cari pasangan’.

“Tetapi bagi saya, soalan dan pandangan sedemikian kita letakkan di tepi.

“Kekentalan mental amat penting dan saya akan terus melangkah ke hadapan,” tegasnya.

Perkasa belia Pulau Pinang, pacu impian masa depan

Bercakap mengenai perancangan khusus bagi memperkasa belia di Pulau Pinang, Shameera Nasreen memaklumkan bahawa beliau kini bergiat aktif di Pulau Pinang bagi menjayakan Kem GRLS (Generation Rise, Lead and Serve) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).

whatsapp image 2026 09 17 at 2.52.06 pm (1)Program yang menyasarkan peserta berusia 18 hingga 23 tahun itu bertujuan memberikan pendedahan mengenai kepimpinan, kesedaran berpersatuan serta pemupukan semangat kenegaraan dalam kalangan anak muda di peringkat tempatan.

Apabila ditanya mengenai impian masa hadapan, beliau yang bakal menamatkan tempoh sebagai belia apabila mencecah usia 30 tahun tidak menolak kemungkinan untuk terus berkhidmat dalam arena pembuat dasar atau agensi pembangunan berkaitan wanita.

“Tanggungjawab saya selepas ini adalah untuk melahirkan lebih ramai wanita muda yang ke hadapan dan lebih hebat daripada saya.

“Hasrat untuk memimpin agensi berkaitan wanita atau melebarkan khidmat dalam penggubalan dasar itu memang ada.

“Cuma buat masa ini, fokus saya adalah memaksimumkan baki tempoh usia belia yang ada untuk terus memberi impak kepada komuniti,” katanya mengakhiri perbualan.