Bengkel Pertengahan Konservasi Bangunan kembali

Admin

Oleh : ZULIANA AZIZ

 

GEORGE TOWN – Bagi meningkatkan tahap profesionalisme, kemahiran dan kualiti kerja kontraktor dalam menjalankan kerja-kerja penyenggaraan, pemuliharaan serta baikpulih bangunan warisan, Bengkel Pertengahan Konservasi anjuran George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) bakal berlangsung pada 21 dan 22 April ini di sini.

Bengkel yang turut memperoleh kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Universiti Sains Malaysia (USM), Construction Industry Development Board (CIDB), Thinkcity Sdn. Bhd., Perkof dan Persatuan Arkitek Malaysia cawangan Utara menyasarkan penyertaan golongan para kontraktor binaan. Jumlah penyertaan adalah dihadkan kepada 40 orang dengan keutamaan diberikan kepada pendaftaran awal.

Di sepanjang penganjuran tersebut, para peserta bakal diberi pendedahan secara teori dan menjalankan sesi latihan amali berdasarkan ketiga-tiga topik berkenaan. Bengkel Pertengahan Konservasi tersebut lazimnya telah dianjurkan pada tahun lalu dan memberi tumpuan kepada pengajaran teknik serta penggunaan bahan binaan untuk menjalankan kerja membaiki dan memelihara bangunan warisan iaitu lepaan kapur, genting bumbung dan kayu.

Dengan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan dan pemuliharaan bangunan-bangunan warisan yang betul akan dapat membantu mengekalkan nilai-nilai sejagat Tapak Warisan Dunia George Town, sekaligus meningkatkan tahap keyakinan antarabangsa terhadap kebolehan serta kompetensi kontraktor tempatan.

Semua peserta akan diberikan sijil penyertaan dan pemberian mata CCB dari CIDB bagi membolehkan pihak kontraktor memperbaharui lesen pendaftaran dengan pihak berkenaan di masa hadapan. Borang pendaftaran bengkel boleh dimuat turun dari laman web www.gtwhi.com.my.

SEBAHAGIAN peserta sedang giat menjalankan latihan praktikal menyapukan simen di replika dinding yang disediakan sempena penganjuran Bengkel Pertengahan Konservasi anjuran GTWHI tahun lalu di sini.
SEBAHAGIAN peserta sedang giat menjalankan latihan praktikal menyapukan simen di replika dinding yang disediakan sempena penganjuran Bengkel Pertengahan Konservasi anjuran GTWHI tahun lalu di sini.