IBIDEN jadikan negeri pusat terbesar di Asia

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Langkah Ibiden Electronics Malaysia Sdn. Bhd. (IBIDEN) yang dalam proses  menyiapkan pelan kedua di Taman
Sains Pulau Pinang, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan (SPS) pada September tahun depan dengan jumlah pelaburan RM1.3 bilion
merupakan yang terbesar bagi pihak berkenaan.

Jumlah tersebut menurut Pengarah Urusan IBIDEN, Sataro Ito adalah kira-kira 50 peratus daripada jumlah pelaburan kumpulan untuk tahun 2014.

“IBIDEN akan menjadikan Pulau Pinang sebagai pusatnya yang terbesar di Asia dan ini adalah satu keyakinan kami terhadap negeri ini yang menyediakan suasana perniagaan yang kondusif berserta kehadiran t enaga kerja berkemahiran.

“Pembukaan pelan baru itu sudah pastinya akan menjanjikan 1,500 peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan yang berkemahiran
dalam pelbagai bidang dikehendaki,’’ katanya pada Majlis Pengumuman Pembukaan Pelan Baru IBIDEN di sini baru-baru ini.

Turut serta pada majlis tersebut adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Sataro memberitahu, operasi kilang tersebut akan menumpukan kepada pengeluaran papan pendawaian elektronik (PWB) berprestasi dan berteknologi tinggi untuk kegunaan telefon pintar serta barangan elektronik lain yang akan meningkatkan rangkaian komunikasi 4G.

Dalam pada itu, Guan Eng berharap dengan pembukaan pelan baru tersebut, ia akan menjanjikan masa depan yang baik kepada sektor industri di Pulau Pinang.

“Saya menyeru kepada rakyat Pulau Pinang supaya merebut 1,500 peluang pekerjaan yang sedang ditawarkan,’’ ujarnya sambil mengucapkan terima kasih kepada Sataro atas kepercayaan yang diberikan kepada negeri dalam usaha meluaskan sektor industri mereka.