Bergerak Medic bantu jaga tahap kesihatan berkala

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

MACHANG BUBUK – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menyeru penduduk di kawasannya supaya menjalankan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengetahui tahap kesihatan masingmasing.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Bergerak Medic di Taman Sejahtera di sini baru-baru ini.

Katanya, program anjuran pejabat beliau adalah bagi memupuk kesedaran kepentingan pemeriksaan kesihatan dalam kalangan penduduk di samping mengeratkan ikatan silaturahim sedia ada.

“Program ini mensasarkan para penduduk terutamanya di kawasan kampung.

“Selain memberi perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma, program seperti ini juga dapat membantu penduduk menjaga tahap kesihatan secara berkala,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

Menurut Chee Keong, program yang dijalankan di sini merupakan anjuran kali keempat sejak ia mula diperkenalkan pada Oktober lalu.

“Sambutan yang diberikan para penduduk selama empat bulan penganjuran program ini adalah amat menggalakkan, tetapi, masih tidak mencapai sasaran bilangan penyertaan penduduk diharapkan.

“Justeru, saya menyeru supaya penduduk tidak takut untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi menjamin kehidupan yang lebih sihat,” nyata Chee Keong.

Dalam pada itu, kata Khai Loon, selain pemeriksaan kesihatan, turut diadakan adalah program gotong-royong secara berkala bagi memerangi wabak denggi.