Rai pelajar cemerlang, tuisyen percuma diteruskan

Admin

BATU MAUNG – Seramai 24 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalamPeperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun lalu diraikan dalam suatu majlis penghargaan anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim di sini baru-baru ini.

Abdul Malik dalam ucapannya berkata, insentif diberikan adalah sebagai galakan kepada pelajar-pelajar berkenaan untuk lebih bersemangat menggapai kejayaan dalam kehidupan.

“Tahniah kepada semua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam PMR lalu, andalah jaguh yang akan menjadi kebanggaan Pulau Pinang.

“Saya yakin dan percaya bahawa anda semua bukan sahaja boleh menjadi jaguh dalam keluarga, tetapi mampu menjadi jaguh dunia dalam mengejar impian masingmasing,” katanya pada Majlis Penghargaan  Pelajar-pelajar Cemerlang di sini baru-baru ini.

Kesemua pelajar adalah dari tiga buah sekolah menengah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung.

Pada majlis yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin tersebut, para pelajar masing-masing menerima sijil penghargaan dan baucar buku.

Turut berlangsung adalah perasmian pendaftaran tuisyen percuma khas untuk pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam negara.

Abdul Malik memberitahu, tahun ini merupakan tahun keenam penganjurannya dan berharap ia sedikit sebanyak dapat membantu anak-anak daripada keluarga kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.