Bersama bangunkan persatuan sukan OKU – Exco

GEORGE TOWN – Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng menggesa badan-badan korporat supaya bersama-sama membangunkan persatuan sukan golongan kurang upaya (OKU) bagi membolehkan mereka berentap dalam kejohanan peringkat antarabangsa.

“Tanggungjawab dalam membangunkan persatuan sukan berkaitan tidak semestinya diletakkan di bahu pihak kerajaan semataa-mata.

“Sebaliknya, semua pihak memainkan peranan penting dalam mempergiatkan ia sebagai membuka peluang kepada atlet-atlet OKU berpontensi,’’ katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Persatuan Sukan dan Rekreasi Kurang Upaya Pulau Pinang (Person) di sini baru-baru ini.

Hadir menerima sumbangan berkaitan, Presiden Person, Dr. Tiun Ling Ta dan ahli-ahli persatuan, Lim Hock Kee dan Chan Bee Tin.

Tambah Chong Eng, sumbangan bernilai RM20,000 yang disumbangkan adalah sebagai persediaan Person ke Sukan Paralimpik 2016, Sarawak.

Selain membuka peluang kepada OKU menunjukkan bakat dalam bidang sukan, Person yang ditubuhkan pada 2009 juga bertujuan memupuk kesedaran awam dan ibu bapa yang memiliki anak-anak OKU yang berbakat untuk bergiat dalam bidang berkaitan.