Berusaha ke arah pembangunan sosial dan ekonomi secara bersama

Admin
078e675e af5c 42ff ada8 fed8e870fd34 KETUA Menteri menyampaikan sumbangan berkaitan dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Persatuan Kebajikan Jalan Kedah di sini pada 30 Mac 2024.

GEORGE TOWN – Seramai 50 asnaf terpilih masing-masing menerima bantuan tunai RM300, hasil kutipan serta sumbangan sekalian anggota Pertubuhan Kebajikan Jalan Kedah (PKJK) di sini.

d73753e3 1ba1 4c54 ad89 3f01d2720994
KETUA Menteri

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memuji inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan dalam menyantuni golongan terpilih di sekitar Kompleks Flat Jalan Kedah.

“Saya telah berjanji untuk sentiasa mengetengahkan agenda pembangunan negeri secara menyeluruh demi kesejahteraan semua pihak.

“Usaha dan inisiatif yang dijalankan oleh PKJK ini merupakan sebuah kebanggaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana ia secara tidak langsung mampu membantu Kerajaan Negeri untuk menyantuni golongan yang lebih memerlukan di samping membantu aspek pembangunan sosial dalam mencapai Visi Penang2030,” jelasnya dalam majlis berkaitan di gelanggang sepak takraw berhampiran kompleks perumahan bertingkat tersebut pada 30 Mac 2024.

b44117ad 671a 457a b6ce 25fa102686e0
SUASANA Majis Berbuka Puasa anjuran Persatuan Kebajikan Jalan Kedah di sini tadi.

Melihat kepada kerja-kerja kebajikan yang dilaksanakan oleh NGO berkenaan sejak hampir 20 tahun lampau, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini amat beruntung kerana mempunyai sebuah masyarakat yang saling menghormati dan terus berusaha ke arah pembangunan sosial dan ekonomi secara bersama.

“(Sehubungan itu,) menjadi harapan saya untuk setiap rakyat di negeri ini menikmati hasil daripada kepesatan ekonomi serta tidak ada pihak yang terpinggir sama ada dari aspek pendidikan, kebajikan mahupun dalam bidang IT (teknologi maklumat),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Hadir sama, ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng mewakili Ahli Parlimen Tanjong dan Pengerusi PKJK, Dawood Mustaqim Inayadhulla.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR