BEST dilanjut

Admin
Bas BEST.
Bas BEST.

GEORGE TOWN – Perkhidmatan percuma ‘Bridge Express Shuttle Transit’ (BEST) yang bertujuan mengurangkan kesesakan lalulintas di Jambatan Pulau Pinang menjelang waktu puncak dilanjutkan bermula 1 September 2011 sehingga 29 Februari 2012.

Inisiatif khas tersebut adalah berikutan sambutan menggalakkan perkhidmatan yang juga dapat menjimatkan wang ringgit, mengurangkan tekanan atau stres akibat kesesakan lalulintas dan mesra alam yang mula diperkenalkan pada 1 Mac lalu.

Ketue Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, perkhidmatan BEST dilanjutkan ekoran peningkatan ‘ridership‘ secara purata dari 376 penumpang sehari bagi perjalanan sehala pada pertengahan April 2011 ke 442 penumpang pada bulan Ogos 2011. Kadar peningkatan yang menggalakkan ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah wang ke atas perkhidmatan yang mempunyai justifikasi yang kukuh dan tidak sia-sia demi rakyat.

“Kerajaan Negeri membelanjakan RM10,000 sebulan bagi pengoperasian sebuah bas BEST. Manakala Rapid Penang Sdn. Bhd. telah menyediakan 16 buah bas yang menjadikan jumlah kos pengoperasian sebanyak RM160,000 sebulan.

“Perkhidmatan BEST yang kini beroperasi di laluan antara hab Sunway Carnival Mall ke kawasan perindustrian Bayan Lepas akan dikembangkan lagi ke hab baharu iaitu di Aeon Seberang Prai City Shopping Centre, Bandar Perda,” katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, daripada 16 buah bas BEST yang kini beroperasi, enam daripadanya akan dibawa untuk pengoperasian di laluan Bandar Perda ke Bayan Lepas.

“Cadangan penambahbaikan ini boleh meningkatkan ridership BEST kerana kawasan tersebut dan sekitarnya terutama di Bukit Mertajam mempunyai jumlah penduduk yang kerap berulang-alik ke tempat kerja di Bayan Lepas”, tambah beliau.