Blaupunkt pilih P. Pinang

Admin
(Dari kanan), LARS Planke, Goh Kok Teow, Ketua Menteri dan Mukhriz Mahathir semasa Majlis Pelancaran Kilang Blaupunkt di sini baru-baru ini.
(Dari kanan), LARS Planke, Goh Kok Teow, Ketua Menteri dan Mukhriz Mahathir semasa Majlis
Pelancaran Kilang Blaupunkt di sini baru-baru ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TENGAHPulau Pinang seakan diiktiraf lagi sebagai destinasi pelaburan pilihan terbaik dunia apabila syarikat automotif infotainment dari Jerman, Blaupunkt membuka tapak kilang baru dengan nilai pelaburan RM88 juta.

Itu, tidak termasuk RM40 juta lain yang dilaburkan selepas lima tahun mendatang di kilang sama.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri bangga dengan langkah yang diambil oleh syarikat gergasi antarabangsa itu.

“Saya berasa bangga apabila Blaupunkt memilih Pulau Pinang sebagai satu-satunya destinasi pelaburan terbaik di Malaysia.

“Kehadiran kalian (Blaupunkt) hanya akan menambahkan lagi iltizam (Kerajaan Negeri) di Pulau Pinang untuk menarik jenama terbaik dunia khususnya dalam produk berteknologi tinggi dan terkini ke sini,” ujar beliau baru-baru ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Dr. Lars Planke (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Blaupunkt ) dan Goh Kok Teow (Pengarah Urusan Blaupunkt Malaysia) turut berucap pada majlis perasmian itu di Kawasan Perindustrian Bukit Tengah, di sini.

Blaupunkt memilih Pulau Pinang sekarang semasa negeri itu diiktiraf sebagai jaguh pelaburan asing langsung (FDI) berbanding negeri-negeri lain.

Jumlah pelaburan Pulau Pinang bagi tahun 2010 berjumlah RM12.2 bilion manakala RM9.1 bilion pelaburan diperoleh pada tahun berikutnya. Pencapaian itu menjadikan Pulau Pinang menyumbang 28 peratus atau RM17.7 bilion FDI Malaysia bagi tempoh dua tahun berturut-turut.

Operasi Blaupunkt yang merupakan sebahagian dari Kumpulan Robert Bosch sebenarnya wujud di Malaysia sejak 1973 lagi.

Dengan pembukaan tapak baru kilang tersebut sekarang, Guan Eng berkata, Blaupunkt mewujudkan kira-kira 70 lagi peluang pekerjaan dalam kejuruteraan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta tenaga profesional.

Beliau turut memuji Blaupunkt kerana semua 330 pekerja di syarikat itu adalah warganegara.

“Tiada pekerja asing di sini. Ia (Blaupunkt) benar-benar untuk rakyat Malaysia, inilah semangat ‘Malaysia Boleh’ yang sejati,” ujar beliau.