Bola sepak diharap bawa pulang ‘ibu pingat emas’ SUKMA

SETAKAT tengah hari tadi, Pulau Pinang telah mengumpul 26 pingat emas pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

 

Sebelum berlepas ke SUKMA, kontinjen Pulau Pinang melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) telah meletakkan sasaran 26 pingat emas dan sasar tersebut berjaya diraih melalui sukan sepak takraw

 

Buletin Mutiara melalui wartawan WATAWA NATAF ZULKIFLI sempat menemubual Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam Joseph Ng Soon Siang merangkap Ahli Jawatankuasa bagi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Belia dan Sukan.

Bagi Soon Siang, sudah tiba masanya Kerajaan Negeri memberi lebih banyak perhatian terhadap para atlet dari segi kebajikan dan lain-lain.

 

“Ini supaya lebih ramai pemuda-pemudi dapat menceburkan diri dalam sukan selain akademik semata-mata.

 

 

“Daripada carta terkini kita boleh nampak pungutan pingat emas, perak dan gangsa adalah sangat seimbang namun yang menjadi persoalan adakah mereka ini masih boleh bertanding pada SUKMA akan datang serta atlet sedia ada mampu kekalkan prestasi mereka.

 

 

“Selain itu, ini adalah masa terbaik untuk kita berusaha lebih gigih untuk mencari bakat-bakat muda sebagai pengganti pada SUKMA akan datang, tidak dilupakan sekalung ucapan tahniah kepada kontinjen SUKMA yang bertanding pada kali ini, anda adalah yang terbaik,” ujar beliau ketika dihubungi.

 

ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zin Sen pula menyatakan bahawa prestasi kontinjen Pulau Pinang adalah membanggakan dalam mencapai satu lagi sasaran ditetapkan pada saingan berbaki dua hari lagi.

 

 

“Paling penting adalah harapan terhadap skuad bola sepak SUKMA kita pada malam ini yang akan menentang Terengganu selepas 22 tahun tidak melangkah ke perlawanan akhir.

 

 

“Diharapkan bola sepak dapat membawa pulang ‘ibu’ segala pingat emas tersebut balik ke Pulau Pinang untuk SUKMA edisi kali ini. Haria Penang Haria!

 

 

Prestasi kontinjen SUKMA amat memberangsangkan dan membanggakan, itu rumusan yang dibuat oleh ADUN Batu Uban, A. Kumaresan yang telah lima hari berkampung di ibu negara.

 

“Sepanjang di sini saya dapat lihat sendiri atlet berjuang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pingat dalam kesemua acara.

 

 

“Sasaran 26 pingat emas, setakat ini 25. Cuma perlukan satu lagi pingat emas, ada lagi pertandingan yang kita masuk final seperti bola sepak dan saya percaya kita mampu capai sasaran.

 

 

“Ini secara tidak lansung menunjukkan program sukan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri berjaya, termasuk penambahbaikan fasiliti-fasiliti sukan, walaupun sebuah negeri kecil dan kemudahan kita sebenarnya mencapai taraf antarabangsa ,” jelasnya yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa MMK Belia dan Sukan.

 

Bagi Muhamad Aimran Naeme, pencapaian terkini sudah dianggap baik jika dibandingkn saiz negeri dan populasi.

 

“Walaupun sebuah negeri kecil dan populasi mungkin tidak ramai macam negeri lain tetapi Pulau Pinang berjaya lahirkan atlet terbaik di peringkat kebangsaan.

 

“Malam ini tumpuan pastinya terarah kepada bola sepak, saya harap Pulau Pinang mampu raih pingat segala pingat tersebut malam ini.

Penghulu di Pejabat Daerah Barat Daya, Mohd. Farouk Varusai Mohd. dalam pada itu berharap Pulau Pinang dapat memperbaiki kedudukan sebelum SUKMA melabuhkan tirai minggu ini.

 

 

Mohd. Farouk yang sedang bertugas di perkampungan sukan pada kali ini menaruh harapan beberapa acara akhir yang menanti dapat menjelmakan kilauan emas kepada kontinjen Pulau Pinang untuk mencapai sasaran seterusnya memperbaiki kedudukan semasa.