GEORGE TOWN – Komitmen sektor korporat dalam menyokong pembangunan pendidikan dan kebajikan masyarakat terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif penambahbaikan kemudahan di KAFA Sri Bayu, Teluk Air Tawar, Butterworth menerusi Program Sekolah Angkat MADANI 2026.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, penglibatan pihaknya dalam program berkenaan bukan sekadar menyampaikan sumbangan berbentuk material, malah turut merangkumi usaha memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih baik dan kondusif.
Menurut beliau, pihak hotel telah mengadakan lawatan tapak serta perbincangan bersama pengurusan sekolah sebelum mengenal pasti beberapa keperluan utama untuk diberikan perhatian.
“Antara sumbangan yang diberikan termasuk kerja-kerja mengecat semula surau melibatkan keluasan lebih 5,300 kaki persegi, penggantian sistem pembesar suara serta penyediaan 12 set pakaian seragam untuk para guru.
“Usaha ini turut melibatkan kerjasama semua rangkaian hotel di bawah Boustead Hotels and Resorts yang berkongsi kos pelaksanaan program secara sama rata,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Minum Petang Program Sekolah Angkat MADANI KAFA Sri Bayu 2026 di Hotel Royale Chulan pada 25 November 2026.
Hadir sama, Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brigedier Jeneral Razali Ahmad Jumali; Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Hotels and Resorts, Dato’ Rosthman Ibrahim; Pengurus Besar Kanan PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar; Pengarah PTPTN Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman; Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang, Nor Hafizah Othman serta barisan guru dan murid KAFA Sri Bayu.

Mengulas lanjut, Norliza turut menyatakan bahawa pendekatan turun padang yang dilaksanakan itu penting bagi memastikan setiap sumbangan disalurkan berdasarkan keperluan sebenar sekolah, sekali gus memberikan manfaat lebih menyeluruh kepada warga pendidik dan murid.
“Apa yang saya lihat agak menarik tentang penglibatan Boustead Hotels and Resorts ialah komitmen pihak hotel yang tidak hanya melihat program ini sebagai satu bentuk sumbangan korporat, tetapi turut mengambil pendekatan turun padang bagi mengenal pasti sendiri keperluan sekolah.
“Kita mahu setiap pihak yang terlibat bukan hanya sekadar hadir menyampaikan sumbangan, tetapi benar-benar memahami keperluan sekolah dan mengambil tanggungjawab untuk membantu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik,” tambahnya.
Tambah Norliza, pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI bagi tahun 2026 diteruskan menerusi Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dengan penglibatan aktif syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta sektor swasta.
Jelasnya lagi, bagi pelaksanaan tahun ini, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersama syarikat-syarikat kumpulannya diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan program berkenaan membabitkan 42 buah Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di dalam serta sekitar kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dengan sokongan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan ATM.
Dalam pada itu, Norliza turut berkata bahawa Boustead Hotels and Resorts turut diberikan tanggungjawab mengambil dua buah sekolah KAFA sebagai sekolah angkat, iaitu KAFA Sri Bayu di Butterworth dan KAFA Al-Amin di Kuantan, Pahang.
“Tanggungjawab membangunkan komuniti sejahtera bukan hanya terletak pada kerajaan, sebaliknya memerlukan penglibatan dan komitmen bersama semua pihak termasuk sektor korporat,” jelasnya.
Sementara itu, Norliza turut memaklumkan bahawa PTPTN turut memainkan peranan dalam membantu menyediakan persediaan kewangan pendidikan anak-anak menerusi pemberian akaun Simpan SSPN Prime kepada 30 penerima pada majlis berkenaan.
“Sumbangan RM50 kepada setiap penerima itu diharap menjadi permulaan kepada pembentukan budaya menabung dalam kalangan murid sejak usia muda.
“Saya berharap dengan sumbangan ini dapat menjadi langkah permulaan untuk anak-anak mengenali kepentingan simpanan pendidikan.
“Mudah-mudahan simpanan kecil yang bermula hari ini akan menjadi sebahagian daripada persediaan mereka untuk mencapai cita-cita yang lebih besar pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan ibu bapa supaya membuka akaun Simpan SSPN seawal kelahiran anak dan menabung secara konsisten mengikut kemampuan masing-masing, tanpa perlu menunggu sehingga mempunyai wang simpanan yang besar.
“Kalau sebulan ibu bapa menabung RM30, tetapi dilakukan secara konsisten, apabila anak-anak mencapai umur 17 tahun dan ingin menyambung pengajian, mungkin mereka tidak lagi perlu membuat pinjaman pendidikan.
“Yang penting, kita tidak mahu lagi anak-anak kita bergantung kepada pinjaman pada masa hadapan. Kita mahu graduan kita bebas daripada beban membayar hutang supaya mereka boleh memberi tumpuan kepada kehidupan dan kerjaya selepas tamat pengajian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Razali berkata, pemilihan KAFA Sri Bayu sebagai Sekolah Angkat MADANI 2026 merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan bermakna kepada institusi pendidikan agama dalam komuniti pangkalan udara berkenaan.
“Empat bentuk sumbangan yang diberikan pihak hotel membawa manfaat secara langsung kepada warga sekolah, khususnya dalam meningkatkan keselesaan serta menyediakan kemudahan lebih baik untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
“Penambahbaikan surau Al-Mubarak menerusi kerja-kerja mengecat semula telah memberikan nafas baharu kepada persekitaran surau, sekali gus mewujudkan suasana lebih bersih, kemas dan kondusif untuk para guru serta pelajar.
“Surau ini bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah, malah turut menjadi pusat pendidikan dan pembangunan sahsiah pelajar,” katanya.
Razali berkata, surau berkenaan turut dimanfaatkan untuk kelas pemulihan dan bilik guru, manakala ruang dewan digunakan bagi pemeriksaan serta latihan amali solat.
Mengimbas keadaan surau sebelum penambahbaikan dilaksanakan, Razali berkata, keadaan kemudahan berkenaan sebelum ini agak daif dan memerlukan perhatian, justeru sumbangan yang diterima disifatkan sebagai satu rezeki serta bantuan yang amat bermakna.
“Sumbangan sistem siar raya turut membantu meningkatkan kemudahan surau, manakala penyediaan pakaian seragam korporat kepada 12 orang guru, terdiri daripada dua guru lelaki dan 10 guru perempuan, dapat meningkatkan imej profesional serta semangat kekitaan dalam kalangan pendidik.
“Pada saya, sumbangan pakaian seragam ini juga amat bermakna dalam meningkatkan identiti dan semangat kekitaan dalam kalangan guru yang memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak.
“Selain itu, sumbangan kepada pelajar menerusi akaun PTPTN merupakan usaha murni dalam membentuk dan mengukuhkan amalan menabung, meringankan beban serta membantu memenuhi keperluan pendidikan mereka,” jelasnya lanjut.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN