Bubar DUN, Ketua Menteri bertemu TYT esok

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dijadualkan menghadap Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di kediaman rasmi Seri Mutiara pada jam 8 pagi esok.

Menurut Kon Yeow, pertemuan tersebut adalah bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Saya telah mendapat satu janji temu dan akan bertemu Tuan Yang Terutama pada pukul 8 pagi esok.

“Manakala, satu sidang media akan diadakan pada pukul 2.30 petang di Komtar dengan kehadiran semua Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri,” ujarnya pada sidang media di Komtar pada 26 Jun 2023.

Disoal mengenai pembahagian kerusi DUN antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Kon Yeow memaklumkan bahawa proses rundingan pada peringkat negeri telah selesai.

“Kini apa-apa perkara (berkaitan pembahagian kerusi) yang perlu dimuktamadkan akan diuruskan oleh Jawatankuasa Majlis Presiden (kedua-dua parti) pada peringkat pusat.

“Pada peringkat negeri, kita juga menunggu butiran lanjut (keputusan) yang akan diumumkan apabila dimuktamadkan nanti,” jelasnya yang turut mengakui bahawa dalam proses rundingan sebelum ini, terdapat parti-parti komponen mengemukakan permintaan untuk bertanding di Pulau Pinang pada PRN kali ini.

Dalam perkara berkaitan, sebagai respons berhubung keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bertanding secara solo pada PRN akan datang, Kon Yeow berkata bahawa beliau selaku Pengerusi PH Pulau Pinang maklum perkembangan terbaru itu.

“Isu berhubung perkara ini, saya percaya akan diuruskan pada peringkat pusat (Jawatankuasa Majlis Presiden),” katanya kepada pemberita.