ADA insan yang dikenang kerana jawatan yang pernah disandang dan ada pula yang diingati kerana deretan projek besar yang berjaya direalisasikan.
Namun, tidak ramai yang meninggalkan kesan melalui nilai kemanusiaan, keikhlasan dan kesediaan mempermudahkan urusan orang lain.
Itulah legasi yang ditinggalkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang, Dato’ Seri Zulkifli Long selepas 34 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam.
Beliau akan dikenang sebagai seorang pentadbir yang percaya bahawa kuasa bukanlah untuk dihormati, sebaliknya amanah yang perlu dimanfaatkan demi memudahkan urusan rakyat.
Selepas lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam perkhidmatan awam, beliau kini menutup lembaran kerjaya yang penuh makna apabila bersara wajib, sekali gus mengakhiri perjalanan panjang yang sarat dengan cabaran, pengorbanan dan amanah.

Dalam suasana penuh nostalgia pada Majlis Makan Malam Sempena Persaraan beliau di PICCA Convention Centre@Butterworth pada 29 Julai lalu, perjalanan seorang pentadbir yang tenang, berprinsip dan sentiasa mengutamakan rakyat dikenang oleh rakan-rakan seperjuangan daripada pentadbiran kerajaan negeri serta Persekutuan.
Turut hadir ialah Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zairi Mat Ali; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohamed Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Muhamad Ghopran Yeop Hamzah; Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Yang Amat Arif Dato’ Za’im Md. Yudin; selain ketua-ketua jabatan, dif kehormat dan tetamu jemputan daripada pelbagai agensi kerajaan.
Sebagai penghargaan terhadap jasa, sumbangan dan dedikasi beliau sepanjang tempoh perkhidmatan, majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderamata kenang-kenangan.
Ketika berucap, Zulkifli tidak memilih untuk mengangkat kejayaan dirinya, sebaliknya, beliau berkongsi perjalanan seorang penjawat awam yang memahami bahawa setiap jawatan hanyalah amanah yang dipinjamkan buat sementara waktu.
Mengimbau kerjaya yang bermula pada tahun 1992, beliau berkongsi pengalaman berkhidmat di 12 jabatan kerajaan dengan memegang 12 jawatan berbeza.
Antara amanah yang pernah digalas ialah sebagai Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Timur Laut sebelum dilantik sebagai Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bagi tempoh 2018 hingga 2020 serta Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) Pulau Pinang mulai Februari 2024.
Kemuncak kerjayanya hadir apabila mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada September 2025.

Sepanjang tempoh itu, beliau bukan sahaja menyaksikan perubahan landskap pembangunan negeri, malah berdiri di barisan hadapan ketika Pulau Pinang berdepan pelbagai ujian besar termasuk tragedi tsunami pada tahun 2004, banjir besar (2017), insiden tanah runtuh Bukit Kukus pada 2018 dan pandemik COVID-19 pada 2020.
Menurut beliau, dalam setiap krisis, seorang penjawat awam tidak mempunyai ruang untuk mengalah kerana tanggungjawab kepada rakyat sentiasa mengatasi keletihan dan kepentingan diri.
Di sebalik pengalaman dan pencapaian yang dilakar, Zulkifli memilih meninggalkan pesanan yang sederhana tetapi cukup mendalam kepada warga perkhidmatan awam.
Beliau mengingatkan agar setiap penjawat awam sentiasa menambah ilmu, berani menyesuaikan diri dengan perubahan dan tidak gentar membuat keputusan demi kepentingan rakyat.
Malah, beliau berpesan supaya pegawai awam tidak mengejar jawatan atau mengharapkan ganjaran, sebaliknya memberikan tumpuan kepada amanah yang dipikul dengan penuh keikhlasan.
Pesanan yang paling menyentuh hati ialah apabila beliau mengingatkan bahawa kedudukan dan kuasa bukanlah untuk menyusahkan, tetapi menjadi ruang mempermudahkan urusan masyarakat.
“Walaupun kita tidak senang, janganlah kita menjadi orang yang tidak menyenangkan orang lain. Walaupun kita susah, jangan sekali-kali kita menyusahkan orang lain,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap rakyat berhak menerima layanan yang adil tanpa mengira pangkat atau latar belakang, di samping mengingatkan penjawat awam supaya memahami peranan masing-masing serta mengutamakan kerjasama sesama pegawai berbanding bergantung kepada mana-mana pihak politik.
Mengakhiri ucapannya, beliau melahirkan keyakinan bahawa amanah yang ditinggalkan akan diteruskan dengan baik oleh generasi pentadbir seterusnya.
Sementara itu, Mohamed Abdul Rahman yang mewakili Pentadbiran Kerajaan Negeri menyifatkan Zulkifli sebagai seorang pemimpin yang mempunyai ketajaman pemikiran, sentiasa melihat gambaran besar serta membuat keputusan berasaskan fakta, data dan pertimbangan yang menyeluruh.

Menurut beliau, sifat tenang yang dimiliki Zulkifli menjadi kekuatan utama dalam menghadapi pelbagai cabaran sehingga ungkapan “Tenang is good” menjadi prinsip yang sering dikongsikan kepada warga pentadbiran.
Katanya lagi, prinsip kerja yang sinonim dengan Zulkifli iaitu VAS (Volume, Accuracy, Speed) menjadi penanda aras dalam memastikan penyampaian perkhidmatan sentiasa berkualiti, tepat dan pantas.
Pada masa sama, Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) Pulau Pinang, Mohd. Iqbal Mohd. Noor yang mewakili Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Pulau Pinang menyifatkan Zulkifli sebagai seorang pemudah cara yang sentiasa mengutamakan libat urus serta memperkukuh sinergi antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menurut beliau, bimbingan dan kepimpinan Zulkifli banyak membantu menyelesaikan pelbagai isu pelaksanaan projek pembangunan, khususnya berkaitan tanah dan penyelarasan antara agensi.
Semangat kepimpinan yang sentiasa mempermudahkan urusan turut mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek strategik termasuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), Projek LRT Laluan Mutiara dan Lebuh Raya Bertingkat Juru–Sungai Dua.
Bagi Mohd. Iqbal, legasi Zulkifli bukan sekadar diukur melalui jawatan yang pernah disandang atau projek yang berjaya direalisasikan, sebaliknya melalui nilai kepimpinan yang ditinggalkan iaitu seorang ketua yang membimbing, mendengar, menyatukan dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.
Apabila tirai perkhidmatannya dilabuhkan, nama Dato’ Seri Zulkifli Long akan terus dikenang bukan semata-mata sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, tetapi sebagai seorang pemimpin yang mengajar bahawa kuasa hanyalah amanah, jawatan hanyalah pinjaman dan sebesar-besar kejayaan ialah apabila kehadiran kita berjaya memudahkan kehidupan orang lain.
Itulah legasi yang akan terus hidup dalam ingatan warga perkhidmatan awam dan rakyat Pulau Pinang.


Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: MBSP