PADANG LALANG – Rakyat Pulau Pinang diseru mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan, pejabat dan kenderaan masing-masing sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 sebagai simbol perpaduan serta kecintaan kepada negara.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kibaran Jalur Gemilang bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan sejarah perjuangan, pengorbanan dan perpaduan yang menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara yang aman serta berdaulat.
Menurut beliau, setiap rakyat perlu terus memelihara dan menghargai nikmat kemerdekaan dengan mengisinya melalui usaha membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

“Setiap kali Jalur Gemilang dikibarkan, ia bukan sekadar sehelai kain yang berkibar di udara.
“Di sebalik setiap jalur dan warnanya, terpahat sejarah perjuangan, pengorbanan dan perpaduan yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia yang aman serta berdaulat.
“Kibaran ini juga menjadi peringatan bahawa kemerdekaan wajib dipelihara, dihargai dan diisi dengan usaha gigih membina masa depan generasi akan datang,” ujarnya semasa sesi berucap pada Majlis Pelancaran Kibaran Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 di sini pada 31 Julai 2026.
Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Majlis-majlis Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long; barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohamed Abdul Rahman serta dif-dif kehormat lain.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa tema sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ wajar dihayati seluruh rakyat sebagai cerminan keamanan, kemakmuran dan pembangunan inklusif negara.
“Pulau Pinang terus memainkan peranan penting dalam pembangunan negara apabila muncul sebagai antara pusat ekonomi, pelaburan dan inovasi paling dinamik di rantau ini, hasil kekuatan kepelbagaian kaum, agama serta budaya yang menjadi identiti negeri.
“Dalam dunia yang semakin mencabar, kekuatan sesebuah negeri bukan hanya diukur melalui angka ekonomi, tetapi juga pada keupayaan rakyatnya untuk terus bersatu, saling menghormati dan berpijak di bumi sama, inilah asas yang membolehkan Pulau Pinang terus menikmati keamanan dan kemajuan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut menyatakan bahawa Pulau Pinang kekal sebagai hab utama industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor negara, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada ekonomi Malaysia.
“Berdasarkan data rasmi terkini, negeri (Pulau Pinang) telah menyumbang lebih enam peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia selain menguasai hampir 38 peratus daripada keseluruhan nilai eksport negara.
“Pencapaian ini membuktikan Pulau Pinang merupakan nadi utama yang menggerakkan ekonomi Malaysia.
“Selaras dengan Visi Penang2030, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pembangunan berasaskan inovasi, transformasi digital, kecerdasan buatan (AI) dan kelestarian bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi serta memastikan kemakmuran dapat dinikmati seluruh rakyat,” jelasnya.

Pada masa sama, Kon Yeow menegaskan bahawa semangat patriotisme tidak boleh bersifat bermusim, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian melalui integriti, perpaduan dan sumbangan kepada negeri mengikut peranan masing-masing.
Menjawab pertanyaan media selepas itu, Kon Yeow memberitahu bahawa sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibaran Jalur Gemilang bertujuan memperbaharui tekad rakyat Malaysia dalam menyemarakkan semangat patriotisme, kebersamaan dan perpaduan.
“Sambutan ini juga memberi peluang kepada seluruh rakyat menzahirkan semangat cintakan negara serta taat setia kepada Raja dan negara.
“Perbezaan pandangan dalam politik adalah perkara biasa, namun ia tidak seharusnya menjejaskan semangat perpaduan atau menimbulkan keraguan terhadap kesetiaan rakyat kepada negara,” ulasnya lanjut.


Pada acara kemuncak, Kon Yeow turut menyempurnakan acara pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan jabatan dan agensi kerajaan sebagai simbolik pelancaran kempen tersebut, sebelum menyempurnakan pelepasan konvoi membabitkan 32 kenderaan agensi Kerajaan Negeri, kenderaan jabatan serta agensi Persekutuan (41) dan kenderaan sektor swasta (2).
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS