Bukit Bendera berwajah baharu

Admin

KOC yang digunakan sejak 1977.
KOC yang digunakan sejak 1977.

KOC baru yang lebih selesa dan canggih.
KOC baru yang lebih selesa dan canggih.

 

GEORGETOWN – Bermula 25 April sehingga 29 April ini, perkhidmatan kereta api Bukit Bendera akan menyalurkan hasil kutipan tiket iaitu RM5 sehala ke tabung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Hal tersebut dimaklumkan oleh Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera, Datuk Lee Kah Choon bersempena prapelancaran perkhidmatan kereta api baharu yang bakal beroperasi secara rasmi kepada umum bermula 1 Mei ini.

Perkhidmatan Bukit Bendera telah dihentikan operasinya sejak setahun yang lalu bagi kerja-kerja penambahbaikan dan menaiktaraf kereta api berkabel yang telah digunakan sejak tahun 1977 lagi. Kini pengunjung bukan sahaja dapat menikmati suasana hijau Bukit Bendera, malah pengunjung juga turut dapat menaiki kereta api baharu menggunakan tenaga elektrik dengan suasana berhawa dingin dan selesa.

Koc baharu buatan Switzerland tersebut mampu membawa 1000 penumpang dalam tempoh satu jam berbanding sebelumnya hanya 280 penumpang dalam tempoh yang sama. Selain itu, perkhidmatan baru itu juga tidak memerlukan penumpang menukar kereta api sebaliknya perjalanan terus dari stesen ke puncak memakan masa antara 4 minit sehingga 15 minit mengikut keadaan cuaca dan jumlah pengunjung.

Semalam, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merasmikan stesen dan perkhidmatan kereta api baharu menyatakan keterujaan beliau menaiki koc baru tersebut. Selain itu, beliau turut menyifatkan bahawa perkhidmatan terbaru Bukit Bendera ini bukan sahaja mampu menjadi salah satu produk eko-pelancongan malah mampu menjadi ikon antarabangsa sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam memelihara dan memulihara flora dan fauna di Bukit Bendera.

Beliau turut menyatakan produk pelancongan bernilai lebih RM40 juta sedang dibangunkan di Bukit Bendera, antaranya kemudahan pusat penjaja atau astaka di bawah penyeliaan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), mendirikan titian silara (canopy walk), menaiktaraf taman spesis halia dan taman burung, taman periuk kera, penambahbaikan kemudahan awam termasuk rumah ibadat, tandas awam, klinik kesihatan dan juga projek penaiktarafan landskap yang dijalankan secara berterusan.

Pada majlis yang sama, Ketua Menteri turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan berusaha menjadikan Bukit Bendera sebagai kawasan larangan merokok atau ‘Zon Tanpa Rokok’ bagi tujuan memulihara persekitaran flora dan fauna Bukit Bendera sekaligus menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang lebih hijau dan bersih.

Dalam pada itu, Kah Choon turut mengumumkan tambang baru perkhidmatan Bukit Bendera iaitu dengan memperkenalkan pakej terbaru, Pakej Keluarga RM18 bagi pengunjung tempatan manakala RM70 bagi warga asing. Selain itu, bagi individu dewasa pula RM8 bagi pengunjung tempatan dan RM30 bagi pelancong luar negara. Kanak-kanak separuh harga. Manakala bagi orang kelainan upaya (OKU) adalah percuma. Harga istimewa turut ditawarkan kepada warga emas iaitu separuh harga.

Turut hadir pada malam perasmian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Abdul Malik Kassim; Ahli Parlimen Tanjung, Chow Kon Yeow; Pegawai Kewangan Negeri, Mokhtar Jait; dan Yang diPertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif serta wakil Perbadanan Bukit Bendera.

LEE Kah Choon (kiri sekali) memberi penerangan tentang sejarah kewujudan Bukit Bendera kepada Lim Guan Eng ketika melawati Galeri Bukit Bendera di sini baru-baru ini.
LEE Kah Choon (kiri sekali) memberi penerangan tentang sejarah kewujudan Bukit Bendera kepada Lim Guan Eng ketika melawati Galeri Bukit Bendera di sini baru-baru ini.