Emel 1Malaysia – diganti ‘hotspots’ WiFi percuma kepada rakyat

Admin

 

GEORGE TOWN – Inisiatif Kerajaan Persekutuan berhubung pengimplementasian projek Emel 1Malaysia adalah lebih wajar sekiranya ia diganti dengan pembekalan perkhidmatan WiFi percuma untuk seluruh rakyat negara ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa kenapa Emel 1Malaysia perlu diwujudkan memandangkan kini setiap individu dapat menggunakan emel Yahoo dan Gmail secara percuma.

“RM50 juta boleh digunakan untuk projek-projek lain seperti pembekalan perkhidmatan ‘hotspot’  WiFi percuma sebagaimana yang amat diperlukan oleh rakyat negeri Sarawak.

“Kini, emel Yahoo dan Gmail boleh digunakan secara percuma dan yang paling penting adalah tahap keselamatannya turut terjamin,” katanya pada sidang akhbar ketika diminta mengulas mengenai projek Emel 1Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri 19 April lalu.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P.Ramasamy.

Guan Eng berkata, dua perkara yang menjadi isu berhubung pelaksanaan projek tersebut adalah isu keselamatan dan privasi pengguna.

“Dua isu ini adalah penting kerana kita tidak ingin dipantau oleh pihak-pihak berkenaan atau tidak dikenali,” jelas beliau.  

Pada 19 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa satu syarikat IT tempatan, Tricubes Bhd. akan melaburkan RM50 juta untuk menyediakan akaun emel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

Pelaburan bagi projek Emel 1Malaysia itu adalah bagi menyediakan akaun email kepada semua warga Malaysia untuk urusan rasmi dengan kerajaan.

Emel berkenaan akan membolehkan komunikasi secara langsung dan selamat di antara rakyat dan kerajaan. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada pengguna dan juga warga niaga.