Bumbung automatik Bukit Bendera janji keselesaan

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BUKIT BENDERA – Tiga fasa projek menaiktaraf prasarana pusat pelancongan Bukit Bendera bernilai RM39 juta dibiayai Kerajaan Negeri yang bakal siap pada Julai 2013 adalah bagi menampung pertambahan pengunjung yang kian meningkat.

Tiga fasa projek terbabit adalah merangkumi pembinaan bumbung automatik dan bumbung sambungan ke kawasan di stesen induk.

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Maklen Ali berkata, ketiga-tiga fasa projek berkenaan bakal dimulakan pada penghujung Oktober ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Julai 2013.

“Kemudahan tersebut bukan sahaja memberi keselesaan kepada pengunjung ketika musim hujan, malah, turut memberi pelindungan daripada haba matahari yang terik,’’ katanya pada majlis sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Hadir sama, wakil firma seni bina Arkitek LLA Sdn. Bhd. yang terpilih menerajui projek terbabit, Laurence Loh dan Loh-Lim Lin Lee.

Kata Maklen, semenjak pengenalan perkhidmatan kereta api funikular (tren laju yang hanya memerlukan tempoh masa tujuh minit untuk ke puncak) April tahun lalu, jumlah pengunjung Bukit Bendera meningkat sebanyak 35 peratus iaitu antara 8,000 ke 10,000 pengunjung terutama ketika musim cuti umum dan cuti persekolahan,’’ jelasnya.

Mengulas lanjut berhubung pelantikan Arkitek LLA Sdn. Bhd., Maklen menyatakan bahawa sebelum itu pihaknya menerima 10 proposal dari firma-firma seni bina lain yang berminat.

“Syarikat Arkitek LLA Sdn. Bhd. merupakan perunding pembinaan terbaik setelah rekod menunjukkan penglibatan mereka dalam projek pemuliharaan Suffolk House dan arked Whiteaways di sini.

Sementara itu, cadangan laluan pejalan kaki sejauh 80 meter di stesen atas bukit yang bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan pada laluan utama masih dalam peringkat perbincangan. Projek tersebut dijangka siap menjelang tahun 2014.

 

LAKARAN bumbung automatik di laluan utama stesen induk yang bakal siap pada Julai 2013.
LAKARAN bumbung automatik di laluan utama
stesen induk yang bakal siap pada Julai 2013.