Ekspo Hijau 2012 berjaya promosi inisiatif hijau

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Penganjuran untuk tahun kedua Ekspo Hijau Pulau Pinang 2012 baru-baru ini berjaya mempromosikan inisiatif hijau yang mampan dalam kalangan pengguna dan perniaga berwajib di negeri berkenaan.

Ekspo yang mengangkat tema “Memulihara Untuk Esok” itu menerima kira-kira 63 penyertaan pameran, selain partisipasi langsung tiga “sekolah hijau”.

Itu, tidak termasuk sokongan penaja daripada badan-badan korporat seperti Penang Turf Club, G Hotel, Hotel Eastin, CHT Manufacturing Sdn. Bhd., Jviss Hair Beauty, Wisdom Touch dan Deebeauty.

Pelbagai program seperti pameran teknologi hijau, pertandingan mewarna dan melukis, pertandingan fotografi hijau, persembahan pentas, pertunjukan pakaian berorientasikan bahan kitar semula dan permainan mencari eco-harta karun dilangsung selama dua hari bermula pada 22 September lepas.

Cabutan bertuah sehingga RM40,000 seperti pemberian skuter litium elektrik tajaan Eclimo Marketing Sdn. Bhd. turut disediakan untuk menarik minat pengunjung terhadap inisiatif hijau.

Sebanyak 2,500 anak pokok turut diagihkan kepada pengunjung ekspo anjuran bersama-sama Kerajaan Negeri melalui Majlis Hijau Pulau Pinang (PGC Strategies Sdn. Bhd).

Exco Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi PGC, Phee Boon Poh berkata, semua inisiatif hijau dihasratkan Kerajaan Negeri mampu direalisasikan lebih cepat daripada waktu disasarkan dengan syarat wujud kerjasama bersepadu antara Kerajaan Negeri, pengguna, peniaga serta badan-badan korporat berwajib.

“Teknologi hijau yang nak diterapkan ini bukan sekadar program ‘Pulau Pinang Bersih, Hijau dan Selamat’ (tapi) kita (Kerajaan Negeri) mahu partisipasi lebih daripada pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat.

“Kita semua adalah bangsa manusia yang seharusnya mula memikirkan mengenai kehidupan dunia pada masa depan,” ujar beliau di Auditorium Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), Bayan Lepas di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga, Teh Yee Cheu, Ng Wei Aik (Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap ADUN Komtar) dan Maimunah Mohd. Sharif (Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) turut hadir pada majlis perasmian pembukaan ekspo tersebut.