Cabaran 31 tahun tidak luntur semangat teruskan profesion

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

SUASANA bendang yang menghijau di Kampung Permatang Rawa Hujung, Seberang Jaya, SPT.
SUASANA bendang yang menghijau di Kampung Permatang Rawa Hujung, Seberang Jaya, SP

TIADA siapa menyangka di celah kesibukan bandar Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah (SPT) terbentang luas sawah bendang yang begitu cantik panoramanya.

Secara tidak langsung, keindahan menghijau tersebut mengingatkan penulis kepada suasana di kampung yang begitu dirindui.

Atas permintaan skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara (BM), kami dibawa berjumpa dengan salah seorang pengusaha sawah yang kini kian ‘pupus’ ditelan arus pembangunan.

Mengambil alih daripada arwah bapa, Khalid Daud, 48, tidak pernah berasa ‘penat’ mengerjakan sawah seluas 30 relung di Kampung Permatang Rawa Hujung, Seberang Jaya sejak 31 tahun lalu.

Apa yang menjadi pegangan beliau adalah pesanan arwah supaya melaksanakan sesuatu kerja dengan bersungguh-sungguh sekiranya ingin cari makan.

Sepanjang sesi wawancara yang diadakan, Khalid atau lebih dikenali sebagai Pak Tam Lid seolah menyimpan seribu satu rahsia.

KHALID Daud atau Pak Tam Lid.
KHALID Daud atau Pak Tam Lid.

Bukan mudah untuk BM ‘mengorek’ rahsia dan juga pengalaman beliau dalam bidang berkenaan.

Walaupun bertalu-talu soalan diajukan, jawapan beliau tetap ringkas dan penuh ‘misteri’.

Beliau memberitahu, masalah utama yang dihadapi pengusaha sawah kini adalah faktor kedalaman tanah disebabkan faktor cuaca sejak 10 tahun lalu.

Sebab tak dapat musim kemarau yang cukup, tanah sawah tidak cukup kering dan benih-benih padi terpaksa ditanam dalam.

Apabila tiba musim menuai, mesin padi tidak boleh ambil (tuai) sampai ke bahagian bawah pokok (padi) dan menyebabkan pesawah rugi,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Pak Tam Lid menyatakan bahawa faktor cuaca banyak menjejaskan pengeluaran padi secara keseluruhan.

Justeru, berbanding benih padi sebelum ini, beliau kini menggunakan benih jenis CL 220 yang lebih senang dijaga dan tahan termasuk apabila terkena racun menghalang pertumbuhan rumput.

Selain faktor keselamatan seperti berdepan dengan ular berbisa di bendang, Pak Tam Lid menyatakan bahawa masalah lain yang turut dihadapi adalah pengurusan saluran air tidak sistematik ke kawasan bendang dan peningkatan kos jentera, racun serta baja kini.

Menceritakan proses penanaman padi, Pak Tam Lid menyatakan bahawa ia bermula dengan proses menggemburkan tanah sebelum ia diratakan. Setelah selesai, racun siput pula disembur.

Sebelum benih-benih padi disemai, ia perlu direndam semalaman dan kemudian disejat dalam tempoh masa sama. Padi yang disemai dapat dituai dalam tempoh 110 hari dan dalam tempoh setahun, penanaman padi adalah sebanyak dua musim.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, Pak Tam Lid menyatakan bahawa beliau akan meneruskan profesionnya selagi ada kemampuan.

Walaupun tiga anak saya tidak berminat dalam bidang ini sebab pendapatan tidak menentu, saya anggap ia kerja yang menyeronokkan terutama apabila melihat padi yang ditabur naik dan dapat hasil,” ujar beliau yang memiliki 13 adik-beradik.

Dalam pada itu, tambah Pak Tam Lid, beliau turut berharap supaya tanah pertanian dapat dikekalkan agar ia seimbang dengan arus pembangunan semasa.

INFO :

012 – 597 7304

kapsyen :

1.JPG : KEADAAN bendang selepas tanah digemburkan.

2.JPG : TANAH sawah sedang digemburkan sebelum ia diratakan.

3.JPG : KHALID Daud atau Pak Tam Lid.

4.JPG : SUASANA bendang yang menghijau di Kampung Permatang Rawa Hujung, Seberang Jaya, SPT.

5.JPG : SIPUT Gondang Emas yang merupakan perosak utama tanaman padi.