Cadang ‘hidupkan’ semula, perluaskan pelaksanaan program Car Free Day

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bercadang mengembalikan semula pelaksanaan program Hari Tanpa Kenderaan atau Car Free Day yang dihentikan sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata program tersebut merupakan usaha pihak berkuasa tempatan di Pulau Pinang yang dilihat sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri iaitu menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri hijau, bersih, sihat dan selamat.

 

SEBAHAGIAN daripada 5,000 peserta yang turut serta dalam Majlis Pelancaran Hari Tanpa Kenderaan pada April 2013. (Gambar arkib Buletin Mutiara).

Walau bagaimanapun, ia dihentikan seketika akibat pandemik COVID-19 yang mana tidak terlintas pun bahawa pandemik akan melanda seluruh dunia.

 

“Kini, memasuki fasa endemik, banyak sektor telah mula beroperasi kembali secara berperingkat dan sememangnya kita (Kerajaan Negeri) bercadang mengadakan semula Car Free Day dalam waktu terdekat ini,” ujarnya sebagai respons terhadap soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini pada 1 Jun 2022.

 

HENG Lee Lee.

Menurut Jagdeep, di bahagian pulau program ini dijalankan setiap hari Ahad di Lebuh Pantai oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Manakala, di bahagian Seberang Perai, program ini diadakan di Jalan Todak, Bandar Sunway Seberang Jaya oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada hari Ahad minggu pertama setiap bulan.

 

Program ini memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mengamalkan gaya hidup lestari melalui program berbasikal atau menjalankan aktiviti jualan.

 

“Malah, program ini juga menarik minat pelancong tempatan serta luar negara untuk menyertainya.

 

“Oleh itu, saya bersetuju dengan YB Berapit sekiranya program Car Free Day ini dapat diperluaskan lagi ke Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan dan tidak hanya tertumpu di bahagian tengah (Seberang Perai Tengah).

 

“(Dan) saya akan meminta serta menyarankan kedua-dua pihak berkuasa tempatan untuk melihat tempat-tempat yang sesuai dan melaksanakan program ini dalam masa terdekat,” kata ADUN Datok Keramat itu.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI