Projek pembaharuan semula Rumah Pangsa Padang Tembak jangka dimuktamad awal tahun depan

Admin

GEORGE TOWN – Rancangan pelaksanaan projek pembaharuan semua bandar di Rumah Pangsa Padang Tembak dekat Air Itam dijangka dapat dimuktamadkan awal tahun depan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata projek pembaharuan tersebut akan dijalankan melalui program Rumah Mampu Milik Penang (RMMPg) di bawah Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP).

“Rumah Pangsa Padang Tembak merupakan salah satu lokasi tapak bagi projek pembangunan pembaharuan semula bandar yang direncana dalam Pelan Induk Perancangan Pembangunan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang 2021-2025.

“Melalui produk pertama LPNPP iaitu RMMPg, projek pembaharuan semula bandar di Rumah Pangsa Padang Tembak direncanakan mengikut fasa yang mana pelaksanaan Fasa 1 akan melibatkan sekitar tiga blok terlebih dahulu.

“Antara perkara yang diberi perhatian adalah pelan pemindahan penduduk, reka bentuk, ketumpatan serta fasiliti dan kemudahan baharu yang perlu disediakan di kawasan yang akan dibangunkan semula ini,” katanya dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri, di sini sebentar tadi.

Pada masa sama kata Jagdeep, Kerajaan Negeri juga mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membiayai kos pembangunan semula Rumah Pangsa Padang Tembak melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Namun kita masih belum menerima keputusan positif daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya yang menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Ong Khan Lee.

Mengulas mengenai cadangan pembangunan semula projek berkenaan melalui Inisiatif Kewangan Swasta (PFI), beliau berkata model berkenaan memerlukan komitmen kewangan yang tinggi.

“Cadangan menggunakan model ini adalah baik, namun subsidi silang yang perlu ditanggung adalah tinggi selain kepadatan sedia ada yang sememangnya tinggi di lokasi tapak,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI