Cadangan hospital kerajaan baharu di Balik Pulau demi sediakan perkhidmatan kesihatan terbaik

BALIK PULAU – Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik mencadangkan agar sebuah hospital kerajaan baharu dapat dibangunkan di Balik Pulau dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat setempat.

Cadangan tersebut disuarakan berikutan Hospital Balik Pulau yang ada kini hanya mampu menampung 81 buah katil sahaja.

“Hospital tersebut (Hospital Balik Pulau) juga amat sesak dan tidak lagi mampu menampung keperluan rakyat terutama di Balik Pulau ini.

“Saya cadangkan supaya dibangunkan sebuah hospital baharu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan kepakaran.

“Saya juga telahpun berkongsi cadangan ini dengan Setiausaha Politik Menteri Kesihatan pada 7 Jun lalu, dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia berjanji akan mengadakan pertemuan untuk perbincangan lanjut berhubung perkara tersebut.

“(Dan) pastinya pertemuan tersebut akan dihadiri oleh Exco berwajib serta Pengarah Kesihatan Negeri,” katanya kepada pemberita
sejurus lawatan kerja ke Kompleks Pasar Awam Balik Pulau bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini 20 Jun lalu.

Serentak itu, Muhammad Bakhtiar turut memaklumkan bahawa beliau telahpun menyuarakan cadangan tersebut kepada Kon Yeow.

“Kerajaan Negeri mempunyai tanah seluas kira-kira 100 ekar di Pondok Upeh, Balik Pulau yang diperuntukkan untuk dibangunkan
pusat pendidikan.

“Saya mencadangkan agar 30 ekar daripada keseluruhan tanah tersebut dibangunkan hospital berbanding keluasan Hospital Balik Pulau kini hanya sekitar 7.5 ekar sahaja (keluasan tanah),” ujarnya.

Tambah Muhammad Bakhtiar, hospital baharu tersebut akan mempunyai sekurang-kurangnya 200 katil termasuk pakar perubatan.

“Buat masa ini di Hospital Balik Pulau hanya ada pengamal perubatan biasa, jadi dengan adanya hospital baharu nanti jumlah katil akan bertambah.

“(Dan) Hospital Balik Pulau kini boleh diubah suai menjadi bangunan serba guna seperti muzium misalnya apabila hospital baharu siap dibina kelak.

“Lagipun bangunan itu (Hospital Balik Pulau kini) telah siap dibina pada tahun 1883,” katanya yang menganggarkan kos pembinaan
hospital baharu adalah bernilai RM300 juta.