Pemenang FLL terima sijil penghargaan MBPP

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 10 pelajar dari Pulau Pinang yang berjaya merangkul hadiah naib johan bagi Anugerah Persembahan Robot First Lego League (FLL) Peringkat Antarabangsa di Houston, Amerika Syarikat menerima sijil penghargaan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Sijil penghargaan berkenaan disampaikan Datuk Bandar MBPP, Ar. Yew Tung Seang di sini baru-baru ini. Tung Seang dalam ucapannya turut menzahirkan ucapan tahniah kepada 10 pelajar berkenaan yang mewakili Malaysia pada pertandingan robotik bagi kategori kumpulan pelajar berumur 11 hingga 17 tahun.

“Walaupun datang dari sekolah dan keluarga berbeza, namun pelajarpelajar ini mempunyai minat yang sama dalam bidang robotik,” katanya pada majlis berkaitan.

Pada 18 hingga 20 April lalu, sebanyak 108 pasukan dari 56 buah negara telah mengambil bahagian dalam pertandingan berkaitan yang dikenali sebagai World Festival Hydrodynamics.

Mengulas lanjut, Tung Seang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa memberi tumpuan kepada Industri 4.0 dan juga bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan melibatkan pelajar melalui pendekatan penyelesaian masalah langsung.

“Robotik memainkan peranan penting untuk masa depan kita, ia mampu menyerlahkan bakat golongan belia serta meningkatkan kebolehan mereka.

“Apabila kreativiti berkembang, para pelajar boleh membina dan mencipta robot mereka sendiri seperti mana mereka berjaya memenangi anugerah tersebut.

“Pertandingan robotik ini sebenarnya membantu para pelajar untuk berkongsi reka bentuk robot yang mereka cipta, strategi serta teknik pengaturcaraan,” ujarnya.