Hujan tidak luntur semangat gotong-royong

PERAI – Seramai 136 penduduk setempat Taman Perai di sini menjayakan Majlis Gotong-royong Perai anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Chai Leng baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. P. Ramasamy berkata, walaupun hujan renyai-renyai, namun semangat gotong-royong komuniti setempat tidak luntur.

“Ini jelas menunjukkan kesatuan penghuni di sini yang bukan sahaja melibatkan warga tempatan, malah warga asing juga. “Syabas kepada penganjur dan semua pihak yang menjayakan gotong-royong fasa satu ini,” ucapnya di sini baru-baru ini.

Ramasamy yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri II turut menggesa JKKK lain untuk mencontohi semangat khidmat cemerlang JKKK Taman Chai Leng yang sentiasa padat dengan aktiviti kemasyarakatan.

Antara yang terlibat menjayakan gotong- royong tersebut, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), David P. Marshel, MPSP, Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Tengah, Pasukan Peronda Sukarela (PPS) dan Persatuan Penduduk Taman Chai Leng.