CEPA PRAB Fasa 2 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi banjir

img 7186 ACARA penyampaian penghargaan kepada salah satu wakil agensi berkaitan yang menjayakan Bengkel Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (Communication, Education and Public Awareness – CEPA) menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 2 di sini pada 15 September 2026.

SEBERANG JAYA – Ancaman perubahan iklim global dan cuaca ekstrem yang sukar diramal menuntut pendekatan lebih menyeluruh dalam pengurusan risiko bencana banjir.

Menyedari hakikat bahawa pembangunan struktur dan infrastruktur fizikal semata-mata tidak mampu menghapuskan risiko bencana secara mutlak, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri bersama pelbagai agensi penyelamat dan institusi akademik terus memperkasakan peranan komuniti menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 2.

Penganjuran Bengkel Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (Communication, Education and Public Awareness – CEPA) PRAB Fasa 2 Zon Utara bagi Lembangan Sungai Perai, Sungai Pinang, Sungai Juru dan Sungai Jawi berlangsung di Dewan Besar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang pada 15 September 2026.

Program tersebut menjadi medan penting untuk menggabungkan kepakaran teknikal JPS dengan pengalaman serta pengetahuan tempatan penduduk di kawasan berisiko banjir.

img 7181
SALWA Ramly menyampaikan ucapan perasmian Penganjuran Bengkel Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (Communication, Education and Public Awareness – CEPA) menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 2 di sini pada 15 September 2026.

Semasa merasmikan majlis berkenaan, Timbalan Pengarah (Operasi) Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Ir. Dr. Salwa Ramly, menegaskan bahawa kepentingan penglibatan komuniti secara aktif dalam ekosistem amaran awal banjir.

“Keupayaan infrastruktur fizikal sahaja tidak memadai sekiranya komuniti di kawasan berisiko tidak mempunyai kesiapsiagaan dan kesedaran awal.

“Menerusi pelaksanaan CEPA PRAB Fasa 2, gabungan data saintifik PRABN serta kearifan tempatan penduduk setempat amat kritikal bagi memastikan tindakan pemindahan awal dan bantuan keselamatan dapat dilaksanakan secara lebih pantas, efisien dan bersasar,” ujar beliau.

img 0138 originalSebelum itu, Timbalan Pengarah Pembangunan JPS Negeri, Ir. Mohamad Suaimi Ramli, menyampaikan ucapan alu-aluan.

Penglibatan aktif komuniti disifatkan sebagai nadi utama dalam menjayakan strategi pengurusan risiko ini, terutamanya dari segi pemetaan kawasan yang kerap bertakung, laluan terputus serta pengesanan golongan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.

Sesi pembentangan teknikal turut diadakan menerusi Taklimat CEPA PRAB oleh Zariman Mohammad Radin daripada PRABN serta pembentangan mengenai peranan agensi oleh Leftenan (PA) Syukran Ahmad Amir Shaharuddin daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang.

Sebagai kesinambungan inisiatif CEPA Pulau Pinang bagi tempoh 2025 hingga 2026, pelbagai inisiatif komprehensif digerakkan merangkumi siri taklimat, simulasi serta pelibatan interaktif di peringkat sekolah seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakti, SMK DHAS, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jawi dan SMK Permatang Rawa bagi memupuk budaya kesiapsiagaan sejak usia persekolahan.

img 0186 original img 0207 originalMemasuki sesi petang, peserta bengkel terlibat dalam perbincangan kumpulan Dokumentasi Pelan Evakuasi Banjir yang dibimbing oleh Penyelidik CEPA-PRAB Pulau Pinang, Dr. Mohd. Samsudin Abd Hamid.

Program sehari itu diakhiri dengan Majlis Peluncuran Penubuhan Community-Based Organization (CBO) Pulau Pinang oleh Pengarah JPS Negeri, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Ooi Soon Lee, serta penyampaian sijil lantikan CBO dan penghargaan kepada agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta sekolah yang terlibat.

img 0791 originalInisiatif tersebut diharap dapat memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi bencana banjir, sekali gus membantu mengurangkan risiko serta kerosakan harta benda.

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB