Sasar edar 40,000 bekas bubur lambuk sempena Ramadan

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sekali lagi menyampaikan sumbangan program bubur lambuk kepada 13 masjid terpilih sempena Ihya’ Ramadan ini.

Menurut beliau, program yang dilaksanakan sejak tiga tahun lepas itu meliputi tiga kawasan masjid terpilih untuk sambutan di peringkat negeri dan 10 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di bawah seliaan Pegawai Penyelaras KADUN (PPK).

“Sebanyak 300 hingga 350 bekas bubur lambuk berjaya diedarkan setiap hari sepanjang bulan Ramadan pada tahun lepas di setiap lokasi terpilih.

“Justeru, Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak 40,000 bekas bubur lambuk berjaya diedarkan di 13 lokasi terpilih sempena bulan Ramadan tahun ini,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Replika Cek Bubur Lambuk Sempena Ramadan di sini baru-baru ini.

13 lokasi tersebut adalah Masjid Permatang Keriang dekat Penaga, Masjid Kampung Banggol (Permatang Berangan), Masjid Permatang Tok Jaya (Sungai Dua), Surau Ubudiyah (Sungai Acheh), Surau Taman Sri Serdang (Bertam), Surau Kubang Menerong (Pinang Tunggal), Masjid Kampung Binjai (Bayan Lepas), Masjid Pulau Betong (Pulau Betong), Surau Al- Masakin (Teluk Bahang), Masjid Kampung Lebai Tahir (Teluk Air Tawar), Masjid Bagan Jermal (Tanjung Tokong), Masjid Taman Guar Perahu (Penanti) dan Masjid Sungai Duri (Sungai Bakap).

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) turut hadir pada majlis penyerahan cek replika kepada semua wakil masjid program bubur lambuk tersebut.

Hadir sama, Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid & Qaryah bagi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Ustaz Rosidi Hussain serta PPK lain.

Mereka, Asrol Sani Abdul Razak (PPK Bertam), Muhasdey Muhamad (PPK Pinang Tunggal), Ridwan Osman (PPK Penaga), Zahadi Mohd. (Sungai Dua), Arshad Md. Salleh (PPK Permatang Berangan), Norhayati Jaafar (PPK Teluk Air Tawar), Azmi Samsudin (PPK Sungai Acheh), Mohd. Tuah Ismail (PPK Pulau Betong) dan Halil Sabri Hamid (PPK Teluk Bahang).

PPK Bayan Lepas, Jamaludin Said tidak hadir pada majlis tersebut kerana demam denggi.