‘Cleaner Greener Bukit Minyak’ -tumpuan khusus kawasan perindustrian

BUKIT MINYAK – Aspek kebersihan sentiasa mendapat perhatian serius daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) selaku pihak berkuasa tempatan yang komited dalam melaksanakan tugas. Selain dari kawasan perumahan dan tempat-tempat awam, kawasan perindustrian juga tidak terlepas dari perhatian MPSP bukan sahaja dari segi kebersihan, malah aspek kehijauan juga turut dititikberatkan.

Kawasan perindustrian yang terdapat di Seberang Perai seperti Kawasan Perindustrian Perai, Bukit Minyak, Nagasari dan Mak Mandin merupakan antara kawasan utama yang menjadi tumpuan MPSP bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Menurut jurucakap MPSP, kawasan perindustrian harus diberi lebih tumpuan ekoran Pulau Pinang kini menerajui kedudukan dari segi pelaburan. Jika setiap kawasan perindustrian menitikberatkan aspek kebersihan dan kehijauan, maka, makin ramailah pelabur-pelabur asing yang bersedia melabur di negeri ini tanpa rasa was-was.

Kebanyakan kilang telah mengamalkan program kitar semula dan menanam pokok bagi menjayakan ‘Cleaner Greener Bukit Minyak’ (Bukit Minyak bersih dan hijau) yang telah diwujudkan oleh Kerajaan Negeri (KN) bagi menjadikan sebuah bandar yang bersih dan hijau di samping meningkatkan kualiti hidup.

Penghijauan melalui inisiatif ‘Cleaner Greener Bukit Minyak’ adalah termasuk menghijaukan dan mewujudkan taman ruang poket hijau, taman dan kebun. Program ini harus dijalankan berterusan bersama-sama dengan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), sektor korporat dan CBOs, dan melaluinya kita boleh mempercepatkan dalam menjadikan Pulau Pinang Bersih dan Hijau, terutama dari segi landskap, pokok tanaman, penanaman bakau dan sebagainya,” kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika berucap di Majlis Penutup ‘Cleaner Greener Bukit Minyak’, baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, Pulau Pinang sekali lagi memimpin apabila negeri ini dan MPSP masing-masing telah berjaya mencatat pencapaian paling tinggi dalam mengitar semula bahan buangan iaitu sebanyak 23%.

Sebanyak 500 pokok juga telah disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan untuk ditanam di sekitar bahu jalan pada program ini. Penganjur bersama, Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI) turut menghantar pelajar-pelajar untuk menyertai program ‘Cleaner Greener’ ini. Inisiatif tersebut merupakan kerjasama rakyat bagi membersihkan kawasan perindustrian di Seberang Perai.