Sukan Dwi Tahunan erat hubungan kakitangan seluruh Malaysia

GEORGE TOWN – ‘Menjadi penghubung dalam mengeratkan tali silaturrahim antara anggota-anggota perkhidmatan awam yang berada di Pejabat-pejabat Kewangan Dan Perbendaharaan Peringkat Persekutuan, Negeri atau Daerah di samping membantu melahirkan anggota yang sihat, cergas, berdisiplin, komited serta berdaya saing.’ Objektif tersebut merupakan intipati utama penganjuran Kejohanan Sukan Dwi Tahunan Pejabat-pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Se-Malaysia Kali XI Tahun 2011 yang telah berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, baru-baru ini.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat berbesar hati menerima kunjungan semua kontinjen dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak ke negeri ini yang juga dikenali sebagai ‘Tapak Warisan Dunia’.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, penganjuran kejohanan sukan yang diadakan dua tahun sekali ini amat bermakna kepada pegawai-pegawai awam untuk menjalinkan silaturrahim di kalangan mereka.

Saya pasti kedatangan anda ke negeri Pulau Pinang yang dikenali sebagai bandaraya yang hijau bersih dan selamat ini tidak lengkap sekiranya anda tidak menikmati pelbagai aneka makanan yang beridentitikan masyarakat Pulau Pinang.

Tidak lengkap kunjungan anda sekiranya tidak menikmati nasi kandar dan tidak sah kunjungan anda sekiranya tidak merasai jeruk buah pala dan sebagainya,” kata Guan Eng yang sempat mempromosikan keunikan Pulau Pinang semasa merasmikan Majlis Kejohanan Sukan Dwi Tahunan Pejabat-pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri.

Guan Eng juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Mokhtar Mohd. Jait, Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, selaku Pengerusi bagi penganjuran sukan dwi tahunan ini dan jawatankuasa yang terlibat kerana berjaya menganjurkan kejohanan kali ini.

Sebanyak 13 kontinjen dari seluruh Malaysia (kecuali Wilayah Persekutuan) telah berentap bagi merebut gelaran juara bagi acara sukan ping pong, tenpin boling, dart, karom dan badminton.