COVID-19: Exco harap Kerajaan Persekutuan bantu komuniti penjaja kecil

Admin

BATU LANCANG – Susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di kebanyakan negeri, Kerajaan Persekutuan digesa supaya mengumumkan bantuan khusus kepada golongan terjejas khasnya komuniti penjaja.

Gesaan tersebut disuarakan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang simpati dengan komuniti penjaja.

Jelasnya, di Pulau Pinang pelbagai pengecualian bayaran kutipan hasil serta bantuan jangka pendek disediakan bagi kemudahan kepada golongan terkesan akibat PKPB dan pandemik COVID-19.

“Apabila Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan pelaksanaan PKPB, mereka juga perlu sediakan bantuan untuk membantu golongan yang terkesan.

“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada Kerajaan Pusat untuk membantu golongan yang memerlukan seperti penjaja kecil yang mana kita lihat tapak-tapak penjaja sudahpun kosong dan mereka ini adalah golongan terjejas (dari segi pendapatan harian).

“Kalau hendak buat PKPB mesti ada pelan bantuan kepada mereka, saya juga ingin tahu apakah pelan (jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang) untuk mereka ini (penjaja) daripada Kerajaan Pusat kerana mereka juga bayar cukai,” ulasnya dalam satu sidang media yang diadakan sejurus hadir ke Mewah Court dekat sini, pagi ini.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong; Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan), ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Penolong Setiausaha Kanan (Seksyen Pengurusan Perumahan), Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff dan Pengerusi Badan Pengurusan Mewah Court, D. Emmanuel.

Mengulas lanjut, Kerajaan Negeri Pulau Pinang talah mengumumkan tiga pakej bantuan berjumlah RM155 juta bagi membantu semua golongan sasar yang terkesan termasuk penjaja.

Terdahulu, Jagdeep hadir ke Mewah Court bagi mengumumkan kelulusan permohonan kerja-kerja penukaran 16 unit tangki air.

“Bagi kerja-kerja menaik taraf tangki, kos diperlukan adalah RM468,000, Kerajaan Negeri menanggung 80 peratus kos projek (RM374,400) manakala baki 20 peratus (RM93,600) tanggungan Badan Pengurusan Mewah Court.

“Projek tersebut dijangka mengambil masa selama lapan minggu untuk disiapkan,” katanya.

Sebagai rekod, Jagdeep memaklumkan bahawa melalui lima tabung perumahan yang diwujudkan, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan sebanyak RM262.7 juta bagi projek-projek penyelenggaraan di semua perumahan awam dan swasta di seluruh negeri Pulau Pinang.

Di bawah Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP), sebanyak RM38.2 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang meliputi 257 permohonan dengan jumlah kerja yang terlibat adalah sebanyak 411 kerja.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN