COVID-19 percepatkan adaptasi perkhidmatan pendigitalan MBPP

Admin

PADANG KOTA – Impak COVID-19 kini memberi peluang kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mempercepatkan proses pendigitalan perkhidmatannya selaras dengan Visi Penang2030 iaitu ke arah mewujudkan sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika ditemui melahirkan rasa syukur ekoran inisiatif MBPP beberapa tahun lalu dengan memulakan proses pendigitalan perkhidmatan yang secara tidak langsung telah membawa pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan untuk lebih bersedia ketika menghadapi krisis kini.

“Sebenarnya, proses ini mengambil masa untuk diadaptasi oleh masyarakat, namun disebabkan wabak COVID-19, ia telah menjadi satu keperluan… dan saya berasa syukur dan mengucapkan tahniah kepada MBPP kerana mempunyai pandangan jauh beberapa tahun lalu dengan memulakan proses pendigitalan perkhidmatan mereka.

“Sekarang adalah masa untuk mempertingkat, meluas dan memperhebatkan lagi usaha urus tadbir pendigitalan ini supaya ia lebih memudahkan orang awam serta urusan pentadbiran tanpa memerlukan mereka (orang awam) hadir secara fizikal di pejabat MBPP yang sekaligus dapat mengurangkan keperluan kontak dan menjayakan usaha memutuskan rantaian COVID-19 secara lebih menyeluruh,” ujarnya sejurus mengadakan lawatan ke Pusat Bayaran Setempat MBPP dekat Padang Kota Lama di sini tengah hari tadi.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Dato’ Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar MBPP) dan Dato’ Addnan Mohd. Razali (Setiausaha Bandaraya) antara yang turut serta pada sesi lawatan tersebut.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi diberikan taklimat berhubung tatacara normal baharu yang diadaptasi MBPP membabitkan beberapa kategori pentadbirannya.

Beliau dan rombongan lain kemudiannya dibawa melawat ke beberapa lokasi lain bagi melihat sendiri urusan secara dalam talian (online) yang dijalankan, antaranya permohonan pelan pembangunan melalui sistem Integrated Local Council Solution (ILCS), temuduga penjaja bagi mengisi ruang niaga Majlis, perjalanan kursus untuk pengendali makanan sebelum diberikan lesen serta pembayaran bil.

Dalam pada itu, Jagdeep pada sidang media sama memaklumkan bahawa MBPP kini menerajui bidang transaksi tanpa tunai dengan mencatatkan hampir 50 peratus transaksi perkhidmatan Majlis dilakukan secara atas talian pada tahun lalu (2019).

“Tahun lalu, transaksi tanpa tunai yang dicatatkan adalah pada tahap tertinggi, yang mana membabitkan keseluruhan 741,000 transaksi dengan nilai hampir RM370 juta, 350,000 transaksi adalah tanpa tunai… ini adalah data sebelum berlakunya wabak COVID-19.

“Justeru, dengan beberapa inisiatif yang yang sedang diperkasa MBPP, saya jangkakan pada hujung tahun ini (2020), angka ini akan meningkat dengan lebih tinggi,” ulasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video: CHAN KOK KUAN