Cub Prix 2011 kembali gegar P.Pinang

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

ABDUL Halim Hussain (duduk) sambil ditemani Lydia Ong Kok Fooi (dua dari kanan) dan Abdul Malik Abul Kassim (tiga dari kiri) menunjukkan tanda bagus pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di sini baru-baru ini.
ABDUL Halim Hussain (duduk) sambil ditemani  Lydia Ong Kok Fooi (dua dari kanan) dan Abdul Malik Abul Kassim (tiga dari kiri) menunjukkan tanda bagus pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas kembali menggegarkan Pulau Pinang dalam wajah yang lebih bertenaga, mega dan gamat dengan manusia ketika berlangsungnya pusingan Grand Finale di perkarangan Esplanade yang lebih dikenali sebagai Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Selain aksi mendebarkan di litar, pengunjung yang hadir berpeluang untuk mendalami mengenai sukan bermotor seperti Klinik Perlumbaan Cub Prix, permainan, pertandingan, ujian tunggangan, persembahan dan tayangan layar gergasi di mana penonton-penonton boleh menyaksikan perlumbaan di kawasan strategik di kawasan promosi Cub Prix.

Kejuaraan kali ini adalah kali ketiga di negeri yang kini dipimpin Pakatan Rakyat.

Kali pertama pada tahun 2009 dan kejuaraan tahun lalu paling bermakna apabila Hafizh Syahrin Abdullah dari kumpulan Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline telah dinobatkan sebagai pelumba termuda yang memenangi gelaran CP130 pada usia 16 tahun.

Maka, tidak hairanlah sekiranya Exco Belia dan Sukan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Lydia Ong Kok Foi memuji usaha Promoter Kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn. Bhd. (SAM) atas kejayaan pada kejuaraan kali ini.

“Seluruh kontinjen Cub Prix dan semua pelumba-pelumba dari seluruh negara akan berkunjung ke Pulau Pinang untuk memperagakan aksi terbaik dan meraih kejayaan untuk pasukan masing-masing.

“Menyaksikan pelumba profesional beraksi di tempat sendiri adalah sesuatu yang sangat menarik dan saya juga memuji usaha pihak penganjur mengadakan Klinik Perlumbaan Cub Prix untuk mendidik orang ramai mengenai perlumbaan dengan dikendalikan oleh bekas pelumba MotoGP negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini,” ujarnya.

JUARA Norizman Ismail selaku juara keseluruhan kategori CP130 menguncup piala. (Gambar ihsan : Malaysian Cub Prix)
JUARA Norizman Ismail selaku juara keseluruhan kategori CP130 menguncup piala.
(Gambar ihsan : Malaysian
Cub Prix)

Beliau berharap, dengan penganjuran kejuaraan berkenaan, dapat dimanfaatkan oleh oleh semua pihak, khususnya keluarga sempena musim cuti sekolah tahun ini. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SAM kerana memilih Pulau Pinang sebagai pusingan terakhir kejuaraan. Petronas selaku penaja utama serta penaja-penaja lain turut dihargai atas penganjuran Cup Prix kali ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Halim Hussain dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim. Kejuaraan kali ini menyaksikan berakhir dengan menyaksikan Norizman Ismail dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori CP130 dengan kejayaan menjejakkan kaki di atas podium dalam perlumbaan sengit berlangsung di sini.