Nicol terima RM50,000 sumbangan KN

KETUA Menteri menyerahkan replika cek RM50,000 kepada Nicol David (dua dari kiri) sambil ditemani ibu bapa beliau dan Jaseni Maidinsa (kanan sekali) pada Majlis Makan Malam Bersama Datuk Nicol David di sini baru-baru ini
KETUA Menteri menyerahkan replika cek RM50,000 kepada Nicol David (dua dari kiri) sambil ditemani ibu bapa beliau dan Jaseni Maidinsa (kanan sekali) pada Majlis Makan Malam Bersama Datuk  Nicol David di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Enam tahun berturut-turut dinobatkan sebagai juara dunia melayakan Ratu Skuasy, Datuk Nicol David menerima sumbangan RM50,000 dari Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) baru-baru ini.

Majlis penyerahan replika cek itu disempurnakan sendiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng. Sumbangan itu sebagai tanda sokongan dari Kerajaan Negeri terhadap pembangunan arena skuasy di negeri berkenaan.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat komited untuk menggalakkan kecemerlangan sukan di negeri ini,” ujar beliau di Hotel Evergreen Laurel, di sini.

Pada majlis makan malam itu, beliau turut mengumumkan geran PBAPP bernilai RM500,000 setahun untuk merancakkan lagi arena skuasy negeri.

“PBAPP menyokong Majlis Sukan Negeri dengan (memberi) geran yang berjumlah RM500,000 setiap tahun. Ini
adalah sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat (bagi) syarikat kepada Pulau Pinang,” ujarnya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengurus Besar PBA, Ir.Jaseni Maidinsa dan Pengerusi Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Datuk Syed Mustaffa Syed Ali serta beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri lain.

Ibu bapa Nicol, Ann-Marie dan Desmond David dan adiknya turut diraikan dalam majlis itu.